TIADA KUDETA DI SELANGOR, KATA ADUN PKR DAN PAS

Sejumlah wakil rakyat PKR dan PAS Selangor hari ini menafikan dakwaan ada di kalangan mereka yang akan meninggalkan parti bagi menyertai Umno, sekaligus mencetus ‘rampasan kuasa’ seperti yang berlaku di Perak pada 2009.

Ia dikatakan cuba dilakukan pada sidang media oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak semalam, yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama parti itu.

Exco kerajaan Selangor Amirudin Shari berkata, khabar angin itu sengaja ditimbulkan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap sidang media yang menurutnya menjadi bahan sindiran.

“Spekulasi ini semua hanyalah cerita untuk mengalih perhatian rakyat atas sidang media Ahad lalu yang menjadi bahan ketawa seluruh negara,” kata anggota dewan undangan negeri (ADUN) dari PKR itu, seperti dipetik media rasmi kerajaan negeri Selangorkini.

Sidang media semalam mencetuskan pelbagai tanda tanya, antaranya kerana Najib memanggil seluruh pemimpin utama Umno di seluruh negara untuk menyertainya.

Akhirnya ia disindir pelbagai pihak, termasuk pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN), apabila hanya mengumumkan kemasukan semula Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam Umno.

Hari ini, The Malaysian Insight mendakwa pengumuman Muhammad semalam sepatutnya disertai lapan lagi ADUN Selangor dan seterusnya menyebabkan kerajaan baru dibentuk, namun ia tidak terlaksana.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, ia akan dibentuk dengan komposisi 34 ADUN, iaitu 12 dari Umno, 13 PAS, lapan PKR yang didakwa akan berpaling tadah serti bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ia dikatakan bakal mengulang episod tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak, selepas wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong BN.

Exco kerajaan negeri Datuk Iskandar Samad pula berkata, partinya komited untuk menunaikan tanggungjawab mentadbir Selangor sejak mandat yang diberi rakyat pada 2008.

“Saya tidak nampak itu (keluar parti) berlaku kerana kerajaan negeri sekarang berfungsi dengan baik.

“Pengumuman itu dibuat secara besar-besaran, seolah-olah dia masuk balik Umno untuk ganti peranan dimainkan Noh selama ini untuk rampas Selangor. Mungkin Najib kecewa dengan prestasi Noh,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Dakwaan itu turut dinafikan exco Selangor dari PKR, Dr Daroyah Alwi yang berkata yang menjamin sebarang usaha rampasan kuasa tidak akan berjaya.

“Kita tetap teguh dengan perjuangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipimpin oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah. Dan di Selangor bersama Datuk Seri Azmin Ali,” katanya seperti dipetik Antarapos.

Setiausaha politik Menteri Besar dan ADUN PKR Shuhaimi Shafie pula berkata spekulasi dibuat bagi menganggu kelancaran pentadbiran negeri.

– M’kini

.