‘TIADA KOMPROMI WALAU SPRM TERIMA RM5 JUTA DARI PUTRAJAYA’

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi meskipun Yayasan Prihatin yang merupakan yayasan di bawah SPRM menerima peruntukan RM5 juta daripada Putrajaya.

“Pemberian ini tidak akan menjejaskan atau mengkompromikan integriti dan profesionalisme SPRM kerana pelaksanaan tanggungjawab SPRM adalah berdasarkan bidang kuasa yang ditetapkan di bawah AKTA SPRM 2009,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low dan jawapan parlimen kepada Lim Kit Siang (DAP – Gelang Patah) hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sebelum ini mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada yayasan itu sebagai sebahagian usaha memastikan kebajikan pegawai SPRM.

Lim menyatakan kebimbangan berkenaan peruntukan berkenaan dan bertanya jika ia akan mengkompromikan integriti dan profesionalisme SPRM.

“Yayasan Prihatin masih belum menerima peruntukan berkenaan yang masih dalam proses di pihak Kementerian Kewangan,” kata Low.

“Peruntukan dana tersebut adalah dana peruntukan kerajaan yang dipohon dan diperolehi mengikut prosedut kewangan,” tambahnya.

Low turut menjelaskan, siasatan SPRM terhadap mana-mana pihak adalah berdasarkan keterangan fakta dan keterangan kes tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.

Low berkata, panel yang terdiri daripada lima badan akan memantau prosedur siasatan SPRM.

Panel itu adalah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan rasuah, Panel Rundingan dan Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi dan Jawatankuasa Aduan.

– M’kini

.