TIADA HALANGAN AZMIN NAK JUMPA HADI

KOTA BHARU – Tiada sebarang halangan wujud jika Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu berjumpa dan berbincang dengan Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang mengenai masalah yang dihadapi kedua-dua parti itu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, jika ia merupakan sesuatu yang baik, maka apa-apa perbincangan boleh berlaku, namun sebarang keputusan akan diputuskan Majlis Syura Ulama yang dijangka bermesyuarat esok.

“Itu (perbincangan) satu usaha yang baik. Apa-apa pun bincang untuk ke arah kebaikan, tiada halangan,”katanya kepada media di sini.

Ahmad hadir merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Wakaf Raudhatul Barakah atau Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, di sini yang turut dihadiri oleh Adun Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan kesediaan Azmin untuk bertemu Abdul Hadi atau mana-mana kepimpinan parti Islam itu bagi membincangkan masalah yang melibatkan kedua-dua parti dalam Pakatan Rakyat itu.

– SH

.