TIADA BALAS DENDAM, PAKATAN HORMATI UNDANG-UNDANG, KATA DR MAHATHIR

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan itu akan menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak akan membalas dendam terhadap pegawai awam yang bersalah kerana rasuah jika ia berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

“Kami akan menghormati kedaulatan undang-undang. Kami tiada niat untuk membalas dendam.

“Jika undang-undang mengatakan orang yang mencuri wang perlu dibawa ke mahkamah, mahkamah akan memutuskan apa yang betul dan hukuman yang sesuai,” kata calon perdana menteri PH itu di siaran langsung Facebook pagi ini.

Beliau menjawab soalan daripada penonton agar PH melancarkan audit forensik berskala besar dan menyiasat setiap menteri, merampas semua aset yang dicuri dan mengembalikannya kepada tabung awam jika ia memenangi PRU14.

“Kami sudah bohsan mendengar kes-kes rasuah setiap hari,” kata penonton, yang dikenali dengan nama Indra, ketika Dr Mahathir membaca soalannya semasa sesi mengenai penyelesaian kenaikan kos sara hidup.

Dr Mahathir berkata badan kehakiman, bukan perdana menteri atau eksekutif, akan memutuskan sama ada mereka yang dituduh rasuah bersalah.

“Ini adalah cara kami, bukannya balas dendam, kami mahu menghormati kedaulatan undang-undang,” kata Dr Mahathir, yang sering dikritik oleh pembela hak asasi manusia dan pembangkang kerana melanggar undang-undang selama 22 tahun mentadbira negara.

Sesi 40 minit itu menarik 14,000 tontonan, 3,000 “suka” dan lebih 2,400 komen.

Dr Mahathir berkata PH akan mengurangkan kos sara hidup bagi rakyat Malaysia dengan menguruskan perbelanjaan negara secara cekap dan bijak, mendapatkan semula wang yang disalurkan daripada 1Malaysia Development Bhd, mengurangkan hutang negara, mengkaji semula projek tidak perlu, memperkenalkan semula subsidi, mengutamakan industri tempatan, meningkatkan produktiviti dan membasmi budaya “duit adalah raja”.

Dr Mahathir juga menjawab dua soalan lain daripada penonton – pengangkutan awam dan tenaga kerja asing.

Seorang pengguna Internet meminta PH untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam manakala seorang lagi meminta PH mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap tenaga kerja asing.

Dr Mahathir mengakui kedua-duanya adalah isu yang perlu ditangani PH tetapi tidak menawarkan sebarang penyelesaian segera mengenai pengangkutan awam.

Bagaimanapun, beliau berjanji PH akan menghentikan pengambilan perunding asing yang mahal, sesuatu yang biasa di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak dan bergantung kepada kepakaran tempatan mengenai hal dasar awam.

Beliau berkata sebelum ini sudah membawa Malaysia ke negara industri dan menjadi salah satu ekonomi paling pesat berkembang di Asia tanpa bergantung kepada perunding asing.

Pada Ahad, PH mengumumkan Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri ketujuh dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya jika gabungan itu memenangi pilihan raya akan datang.

– https://www.themalaysianinsight.com

.