‘TIADA APA DR M BOLEH BUAT SEBAGAI PM SEMENTARA’

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali mempertikai strategi Pakatan Harapan (HARAPAN) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara.

Ibrahim berkata, sekiranya HARAPAN mengambil alih Putrajaya, tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh tokoh terbabit sebagai perdana menteri sementara dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Ini kerana, menurutnya, sesebuah dasar perlu melalui proses Parlimen yang akan mengambil masa berbulan-bulan.

“Saya tetap hormati Tun tetapi apa yang Tun M boleh buat dalam tempoh enam hingga 12 bulan?

“Nak ubah dasar kena ke Parlimen dan proses Parlimen memakan masa berbulan-bulan,” soal Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat kumpulan pendesak Melayu itu di Kuala Lumpur hari ini.

Ahad lalu, di akhir Konvensyen HARAPAN Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri bagi pakatan pembangkang itu.

Sementara Presiden HARAPAN, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Malaysia milik anak-beranak

Melalui muafakat di konvensyen itu, HARAPAN juga menyatakan hasrat mendapatkan pengampunan diraja untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum HARAPAN itu seterusnya disebutkan sebagai calon perdana menteri kelapan sekiranya pembangkang yang dipimpin Dr Mahathir berjaya menubuhkan kerajaan.

Ibrahim yang juga bekas anggota parlimen Pasir Mas mempersoalkan apakah PRU ke-14 akan datang ini akhirnya menobatkan bekas banduan sebagai perdana menteri.

Katanya ia menjadi amalan luar biasa apabila seorang banduan yang masih belum dibebaskan kemudian diumum bakal dijadikan perdana menteri.

“Jika ini caranya, saya tidak tahu bagaimana nanti HARAPAN akan mentadbir negara,” katanya.

Ibrahim yang mempunyai latar belakang perundangan berkata, semua pihak perlu menghormati peraturan negara.

Katanya seseorang yang hendak mendapat pengampunan harus mengikut prosedur yang betul.

Melalui pengumuman HARAPAN, kata Ibrahim, pakatan pembangkang itu seolah-olah membelakangi Yang di-Pertuan Agong.

Jika akhirnya Anwar diangkat juga menjadi perdana menteri, Ibrahim menjelaskan, pihak yang paling beruntung ialah PKR.

“Kita tengok politik pembangkang ini dimenangi oleh tiga beranak – Anwar, isteri dia dan anak dia.

“Isteri (Dr Wan Azizah) jadi timbalan perdana menteri, kemudian bersara, suami pula jadi perdana menteri.

“Tentulah anaknya (Nurul Izzah) juga akan jadi anggota kabinet dan Malaysia jadi kepunyaan keluarga Anwar Ibrahim,” katanya.

Keadaan itu menurut Ibrahim menampakkan pembangkang tiada tokoh lain yang berwibawa selain Anwar.

– M’kini

.