Tiada Ancaman IS Di P.Pinang

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menafikan ancaman dikeluarkan kumpulan militan IS di negeri itu dan meminta orang ramai supaya bertenang.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab menjelaskan imej anggota polis berpakaian seragam lengkap meronda di pusat membeli belah yang tersebar di laman media sosial adalah gambar lama dan bukan berlaku di Pulau Pinang.

Abdul Ghafar mengakui polis meningkatkan kawalan keselamatan sempena sambutan Hari Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan orang awam.

“Saya menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin tidak benar di laman sosial kerana ia boleh menimbulkan panik dan ketakutan di kalangan orang ramai.
“Sahkan terlebih dahulu dengan polis sebelum mengeluarkan sebarang komen mengenai keselamatan negara,” katanya.

Imej tersebut turut dikongsi rakyat di Sabah dan Sarawak. – Mstar

.