TIADA ALASAN NAJIB HARUS DIKEKALKAN, MALAH KEKALNYA BELIAU SELEPAS PRU 14 LEBIH MEMBURUKKAN NAMA NEGARA

Keazaman untuk mengalahkan UMNO serta BN dalam PRU 14 akan datang dan seterusnya membuatkan Najib Razak tersingkir daripada puncak kuasa, seharusnya merupakan keputusan yang mutlak dan tidak ada kompromi.

Terus menyokong UMNO dan mengundi BN hanya menyebabkan kemungkinan Najib terus kekal berkuasa sedangkan kekalnya beliau selepas PRU 14, tidak menjamin segala masalah yang melingkari dirinya akan selesai dan nama negara dapat dipulihkan.

Dalam dokumen Jabatan Kehakiman AS, Malaysian Official 1 yang kemudian disahkan oleh Abdul Rahman Dahlan sebagai Najib, beliau didakwa menerima sebanyak AS$731 juta atau kira-kira RM3,000 juta wang 1MDB yang dilencongkan melalui akaun bank peribadinya.

Ini bermakna, selepas harta-harta Jho Low, Riza Aziz, Khadem Al Qubaishi dan Mohamed Al Badawy disita nanti, kita tidak tahu apa yang berlaku kepada Najib seterusnya.

Keputusan PRU 14 dan katalah jika Najib kekal berkuasa, ia tidak mungkin menyebabkan Jabatan Kehakiman AS dan FBI menutup kes itu. Sama ada BN menang atau tidak, perjalanan kes itu terus berjalan juga.

Bermakna, jika berlaku apa-apa tindakan terhadap Najib selepas itu, jika beliau bukan lagi Perdana Menteri, ia adalah lebih baik kerana tidak menjejaskan sama sekali nama baik negara. Sekarang ini, semuanya terjejas kerana Najib adalah Perdana Menteri.

Bayangkan apa jadi kepada reputasi negara dan maruah pengundi kiranya selepas memberi kemenangan kepada BN, tiba-tiba lebih banyak tindakan di peringkat antarabangsa diambil terhadap 1MDB dan mereka yang ada kaitan dengan Najib. Sudah tentu lebih buruk nama negara jika nama Najib turut disebut atau dikaitkan secara langsung.

Jabatan Kehakiman AS juga mendakwa wang 1MDB yang dipercayai diselewengkan yang dapat mereka kesan ialah berjumlah AS$3.5 bilion atau RM14,000 juta. Laporan Audit Negara yang diOSAkan pula menyebut wang 1MDB yang tidak dapat disahkan pengalirannya ialah AS$7 bilion atau RM28,000 juta.

Ini menjadikan, selain AS, tujuh negara lain turut melakukan siasatan berkaitan penipuan, penyelewengan dan penggubahan wang haram melibatkan 1MDB.

Marcos, Suharto, Hosni Mubarak dan ramai pemimpin dunia lain juga dicatat sejarah pernah terlibat dalam skandal kewangan dan mengumpul kekayaan, tetapi jumlahnya tidaklah sebesar melibatkan 1MDB. Marcos, Suharto dan Hosni Mubarak juga tidak pernah disiasat sehingga oleh lapan negara asing di sebalik pengumpulan kekayaan, perbelanjaan dan pembaziran yang mereka lakukan.

Dengan itu, dari segi penipuan, penyelewengan dan penggubahan wang haram, apa yang berlaku kepada 1MDB yang diilhamkan oleh Najib, ia bukan saja berskala mega, tetapi boleh dikira antara yang terbesar dalam sejarah sejak zaman Nabi Adam lagi.

Sekali lagi, sama ada Najib kekal atau tidak selepas PRU 14 akan datang, nama 1MDB dan kaitannya dengan Najib akan terus menjadi perhatian, malah mungkin membawa kepada pendakwaan dan perbicaraan.

Juga bermakna, jika Najib bukan Perdana Menteri ketika itu, ia adalah lebih baik dan tidak menjejaskan negara kerana sebarang tindakan tidak lagi melibatkan nama Malaysia dan ketua kerajaannya.

Media-media antarabangsa juga tidak akan berhenti mendedahkan keburukan dan kebobrokan Najib dan keluarganya hanya kerana BN menang pilihanraya. Ia malah boleh jadi tambah berganda dan memburukkan lagi nama negara.

Di dalam negara juga begitu, isu-isu melibatkan Najib yang diperkatakan sekarang tidak akan tiba-tiba berhenti disebabkan UMNO dan BN terus berkuasa selepas PRU 14. Najib tentu saja tidak akan diapa-apakan oleh agensi penguatkuasa yang ada kiranya beliau terus berkuasa, namun bahananya ialah rakyat akan terus sengsara dan sakit jiwa.

Kekalnya Najib juga tidak mungkin membuatkan Tun Mahathir terus berdiam diri dan bersara, tetapi jika kerajaan baru berkuasa, bekas Perdana Menteri itu tentu saja akan menyumbangkan idea-ideanya yang lebih baik untuk pembangunan negara.

Rakyat lebih tenang dan damai jiwanya jika negara memiliki kerajaan dan Perdana Menteri baru selepas PRU 14. Bersama kemungkinan tidak lagi nama negara dikaitkan dengan penyiasatan atau pendakwaan di peringkat antarabangsa, rakyat turut dapat menumpukan kepada urusan harian dan keluarga dengan lebih baik lagi.

Ketika itu, kiranya ada sebarang pendedahan, berita baru, waima pendakwaan sekali pun, ia hanya melibatkan Najib secara peribadi saja. Nama negara tidak lagi terheret.

Maka, mengalahkan UMNO dan BN melalui pilihanraya dengan tujuan memastikan Najib tersingkir haruslah menjadi pegangan muktamad dan tidak diubah-ubah lagi. – SH

.