Ti tukar rentak, kini salahkan bekas ahli Umno jaja isu bangsa

Jika minggu lalu beliau mendesak Umno mengubah taktik kerana menggunakan isu bangsa untuk memenangi hati pengundi Melayu, hari ini Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menukar rentaknya.

Sebaliknya beliau meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada bekas ahli-ahli dan pemimpin Umno dan menuduh mereka sebagai “pelampau bangsa”.

Ti mula mencetuskan perbalahan lisan dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz apabila menyelar parti itu kerana menggunakan retorik ‘jaguh kampung’ bagi memenangi undi di kawasan luar bandar.

Katanya, taktik seumpama itu menghakis sokongan pengundi bandar di kawasan majoriti Melayu dan mengorbankan rakan-rakan gabungan BN.

Nazri membalas dan hari ini melabel Ti sebagai “bodoh, bongkak dan sombong” dan perlu diajar disiplin. Hasilnya, pemimpin MCA itu dilihat menukar rentak dan memilih untuk memuji 1Malaysia, cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Selepas pelampau Melayu yang memusnahkan Perikatan Tunku Abdul Rahman kini berada di luar BN dan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pemimpin BN perlu merebut peluang untuk mengemudi BN ke landasan 1Malaysia atau mengembalikan semangat penubuhan Perikatan oleh Tunku Abdul Rahman,” kata Ti dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada hari-hari “Dilema Melayu” Dr Mahathir, kenyataan bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau adalah “Melayu dahulu, Malaysia kemudian” dan “politik Islam” Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, dalang di sebalik “pelampau dan unsur fanatik yang disemai dalam BN” tidak lagi bersama gabungan itu.

Sambil memuji hari-hari indah ketika zaman Perikatan dan membidas musuh tradisional MCA, iaitu DAP, Ti berkata, “kepimpinan BN sepatutnya gembira kerana pelampau atau ultras telah disingkirkan pada ketika ini.”

“Kita patut gembira kerana epal busuk kini dalam bakul DAP,” katanya. – M’kini

.