TERUS BERTINDAK, TIDAK PERLU TUNGGU PRU, KATA MUJAHID

Bagi Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa, kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad bahawa tindakan kepada kes berprofil tinggi yang melibatkan ahli politik akan diambil selepas pilihan raya adalah sangat mengecewakan.

“Saya menyeru kepada pihak SPRM untuk sentiasa bertindak proaktif kepada mana-mana kesalahan.

“Tindakan badan penting ini tidak seharusnya mengikut waktu, tidak perlu mengenal siapa, hatta perdana menteri sekalipun, tidak perlu mengira kecil atau besar nilai rasuah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan

“Bertindaklah sebagai sebuah badan yang berintegriti, bermaruah dan tidak diskriminasi kepada apa jua keadaan,” tambanya.

Menurutnya, rasuah perlu dilihat sebagai suatu tindakan yang paling kotor dalam urusan kehidupan.
“Maka tindakan tangkas dan tepat perlu segera dilakukan, jangan tangguh!

“Saya tidak takut dan gentar sekiranya pesalah tersebut dari kalangan rakan-rakan politik sekumpulan dengan saya, apatah lagi dengan seteru politik saya.

“Tetapi apa yang penting kita dapat mendidik orang ramai bahawa perlu sentiasa amanah dalam urusan pentadbiran dan kehidupan,” tambahnya.

– M’kini

.