TERLALU RAMAI CALON DI TUARAN BUKA LALUAN BN MENANG

The Malaysian Insight sedang menjalankan siri mengenai kerusi Parlimen marginal menjelangPilihan Raya Umum ke-14. Kami melihat bagaimana kebanjiran calon daripada parti pembangkang akan memberi kesan terhadap kempen untuk Tuaran di Sabah.

MINAT terhadap politik dilihat sedang berkembang di Tuaran, kawasan Parlimen yang terkenal dengan hidangan mi, terutama terhadap parti berasaskan Sabah yang berusaha untuk menewaskan gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Tetapi kerana parti pembangkang tidak dapat bersatu, mereka mungkin melawan satu sama lain, memecahkan undi dan menyerahkan kemenangan kepada BN – sama seperti ketika Pilihan Raya Umum ke-13.

Keadaan ini berlaku walaupun keinginan semakin tinggi dalam mengembalikan hak rakyat Sabah dan kebimbangan mengenai pendatang asing, di mana kedua-dua faktor itu mencemarkan imej BN dalam kalangan penduduk, seperti Rio Henry, 37.

“Orang Tuaran secara umumnya, sukakan politik. Dan sesetengahnya ekstrem di media sosial,” katanya.

Tetapi aktivis BN tempatan mendakwa ia akan menjadi kemenangan mudah untuk gabungan pemerintah sekali lagi, kerana pembangkang tidak bersatu.

Jadi sementara parti seperti Warisan Sabah sedang memikat pengundi, kebanjiran calon bukan BN akan hanya memberi manfaat kepada gabungan parti pemerintah.

Pada PRU13, Madius Tangau dari BN memperoleh 20,685 undi untuk memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,190. Beliau bertanding melawan calon PKR, Wilfred Mojilip Bumburing yang mendapat 15,495 undi.

Calon bebas Erveana Ansari Ali pula dapat 2,264 undi sementara Samin @Jasmin Dulin dari Star Sabah dapat 1,509 undi.

Pendaftar Pertubuhan sudah meluluskan pendaftaran 13 parti baharu, sesetengahnya mungkin akan bertanding kali pertama pada PRU14.

Tuaran mempunyai 48,276 pengundi berdaftar. Ia terdiri daripada Bumiputera bukan Islam 50%, Bumiputera Muslim (44%) dan selebihnya Cina.

Tetapi trend terbaru dalam kalangan pengundi ialah memberi BN peluang demi wangnya.

Kebangkitan semangat kedaerahan

Henry berkata penduduk Tuaran pada masa ini dilihat semakin berminat dengan parti berasaskan Sabah.

Rakyat Sabah, terutama di sepanjang pantai barat teringin untuk kembali diperintah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS), Berjaya atau Usno (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) seperti awal 1980-an.

“Ramai yang tidak lagi berminat dengan parti berasaskan nasional dan mahu jadi seperti Sarawak, di mana rakyatnya tentukan hal ehwal sendiri, tanpa perlu dapat kebenaran Putrajaya,” kata Henry.

Pada PRU14, masyarakat Tuaran mungkin melihat tiga parti berasaskan Sabah bertanding merebut undi mereka. Ia termasuk United Sabah Alliance (USA), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Warisan Sabah.

Pakatan Harapan (PH) juga memberikan isyarat mereka berminat untuk bertanding di Tuaran sekali lagi, sejak mereka tewas dengan kira-kira 5,000 undi. Di Sabah, PH diwakili oleh DAP dan PKR.

Jika tiada pakatan pilihan raya antara mereka, ia mungkin bermakna undi anti BN akan terpecah kepada empat dalam PRU14, maka menjadi kerajaan lebih mudah menang dan mengekalkan kerusinya.

Pada PRU13, Madius Tangau dari BN memperoleh 20,685 undi untuk memenangi Tuaran dengan majoriti 5,190. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.
Pada PRU13, Madius Tangau dari BN memperoleh 20,685 undi untuk memenangi Tuaran dengan majoriti 5,190. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.

Pengerusi PH Sabah Christina Liew berkata gabungan itu sedang berunding dengan parti pembangkang lain untuk membentuk pakatan pilihan raya.

USA diketuai Jeffrey Kitingan dari Star Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah diketuai Lajim Ukin, Parti Progresif Sabah (SAPP) diketuai Yong Teck Lee dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (Arshad Abdul Mualap).

USA sudah pun menunjukkan minat terhadap kerusi seperti Tamparuli, Kiulu dan Sulaman.

Pada PRU13, Bumburing daripada PKR menang kerusi Tamparuli dengan 6,862 undi, diikuti oleh Jahid Jahim (PBS) dengan 6,479 undi dalam pertandingan lima penjuru. Bumburing menang kerusi itu dengan majoriti mudah 383 undi.

Di Sulaman, calon BN Hajiji Noor mengatasi semua lawannya dengan memperoleh 10,000 undi majoriti menewaskan Star, PKR dan calon bebas.

Di Kiulu, Joniston Bangkuai daripada PBS Joniston menang kerusi itu dengan majoriti 3,745 undi, diikuti rapat oleh calon PKR, Rhodes Panilau dengan 3,701 undi.

Daripada empat parti itu, hanya Star Sabah dan SAPP pernah meletakkan calon di kedua-dua peringkat DUN dan Parlimen.

Berdasarkan kepada keputusan PRU13, mereka hampir tidak sepadan dengan gabungan lebih besar seperti BN dan Pakatan Rakyat.

Tetapi berdasarkan kepada harapan adanya kebangkitan dalam semangat kedaerahan di Sabah, tinggal pemimpin daripada PKR seperti Bumburing dan Darell Leiking saja yang ada untuk menubuhkan parti Sabah.

Bumburing mengasaskan Parti Cinta Sabah sementara Leiking menubuhkan Warisan bersama bekas pemimpin BN dan Umno Sabah, Shafie Apdal.

“Tetapi Bumburing boleh menjangkakan bakal berlaku pertarungan sengit daripada BN, siapa yang mahu mendapatkan Tamparuli,” kata seorang aktivis BN yang enggan dikenali.

Warisan yakin dapat menawan Tamparuli dan Kiulu, kata koordinator Tuaran, David William.

Ini berdasarkan kepada peningkatan kemarahan pengundi terhadap BN di kawasan berkenaan, katanya.

Kebimbangan Warisan ialah Sulaman kerana BN memenanginya dengan 10,000 majoriti undi.

Pelbagai projek masuk ke Tuaran

Walaupun agak defensif tentang hak Sabah, parti pemerintah BN masih belum jemu merayu pengundi Tuaran.

Penduduk Michael Johnny berkata kerajaan negeri baru-baru ini mengumumkan pelan untuk menaikkan sektor pelancongan dan Kiulu akan menjadi projek perintis, bersama Kadamaian.

Pendaftar Pertubuhan sudah meluluskan pendaftaran 13 parti baharu, sesetengahnya mungkin akan bertanding kali pertama pada PRU14 termasuk di Tuaran, Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.
Pendaftar Pertubuhan sudah meluluskan pendaftaran 13 parti baharu, sesetengahnya mungkin akan bertanding kali pertama pada PRU14 termasuk di Tuaran, Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.

Johnny merujuk kepada peruntukan RM228 juta bagi membangunkan produk pelancongan baharu. Program yang dinamakan “Lung Cleansing Tourism” itu, tentang mempromosikan aktiviti mendaki dan treking di daerah itu.

Ahli Parlimen Tuaran Madius Tangau, yang juga menteri sains dan teknologi mencadangkan membangunkan institusi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di daerah itu.

Kerajaan juga sedang membina Kompleks Sukan Tuaran yang baharu dan jambatan Kampung Bantayan-Tuaran.

William daripada Warisan berkata beliau tidak rasa projek khas akan menarik minat pengundi yang lebih bimbang tentang isu asas seperti harga getah.

“Ramai orang di Tamparuli dan Kiulu penoreh getah. Tetapi kebanyakan tidak dapat pendapatan besar dengan menjual getah pada Lembaga Industri Getah Sabah.

“Kami mahu pecahkan monopoli pasaran getah di Sabah dengan membenarkan pekebun kecil menjual hasil kepada syarikat yang menawarkan harga terbaik.”

Tetapi tidak kiralah betapa bagusnya janji setiap parti kepada masyarakat Tuaran, Henry sebagai penduduk tempatan merasakan apa yang paling penting akhirnya ialah sama ada mereka akan dapat bertanding satu lawan satu dengan BN atau tidak.

Sejarah membuktikan bila saja BN berdepan dengan lebih satu parti pembangkang, biasanya BN akan menang.

– https://www.themalaysianinsight.com

.