TERLALU BERPOLITIK PUNCA KESILAPAN OSCAR – TRUMP

KONTROVERSI yang tercetus pada majlis Anugerah Akademi ke-89 (Oscar) 2017 masih menjadi bualan peminat dunia hiburan di seluruh dunia tentang kesilapan yang berlaku ketika pengumuman pemenang kategori utama anugerah berprestij itu.

Anugerah kategori Filem Terbaik sepatutnya diberikan kepada filem Moonlight, tetapi hos mengumumkan filem La La Land sebagai pemenang, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penonton.

Namun bagi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, beliau tidak hairan dengan kontroversi yang berlaku, sebaliknya tampil dengan jawapan untuk menjelaskan situasi memalukan itu.

“Saya fikir mereka terlalu fokus tentang politik dengan mencemuh saya sehingga menyebabkan mereka hilang tumpuan pada saat penting majlis tersebut.
“Menyedihkan. Kejadian itu menjejaskan malam gemilang Ocsar dan saya fikir malam tersebut telah hilang seri.

“Saya pernah menghadiri Oscar dan terdapat keistimewaan yang telah hilang dan acara kemuncak majlis itu sangat menyedihkan,” katanya seperti dilaporkan portal The Telegraph.

Trump menjadi ‘bahan lawak’ pada majlis tersebut apabila hos Jimmy Kimmel mempersendakan Presiden AS itu pada upacara pembukaan.

“Siaran Oscar ini ditonton oleh berjuta-juta rakyat Amerika dan seluruh dunia melibatkan lebih 225 buah negara yang kini benci terhadap kita,” kata Kimmel merujuk kepada sentimen anti-Trump yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Bukan Kimmel sahaja yang mengutuk Trump, tetapi beberapa pemenang Oscar juga mengambil kesempatan ketika berucap untuk mengkritik pemimpin nombor satu AS itu.

Antaranya termasuk pemenang kategori Filem Terbaik Bahasa Asing, Ashgar Farhadi yang memilih untuk tidak hadir ke majlis tersebut dan menghantar wakilnya, Anousheh Ansar untuk menyampaikan ucapannya.

“Ketidakhadiran saya adalah sebagai tanda tidak puas hati rakyat negara saya (Iran) dan enam lagi negara yang menjadi mangsa sifat tidak berperikemanusiaan ekoran pelaksanaan larangan memasuki AS,” kata Ansar yang memetik kenyataan pengarah filem tersebut.

– Mstar

.