TERLALU AWAL KAIT KEMATIAN JONG-NAM DENGAN EJEN KHAS

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai keterlibatan ejen khas luar negara dalam kes kematian Kim Jong-Nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, Isnin lepas.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan sedang berjalan dan kes itu dianggap rumit.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila ditanya mengenai kemungkinan pembunuhan itu melibatkan ejen khas luar negara.
Setakat ini polis menahan dua wanita yang memegang pasport asing dan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes itu.

Mohamad Fuzi bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya latar belakang ketiga-tiga mereka.

Isnin lepas, Jong-Nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita dikatakan menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

– Bernama

.