TERGADAINYA MALAYSIA SELEPAS 60 TAHUN MERDEKA

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat amat bersejarah dari beberapa aspek yang sangat negatif bagi Malaysia.

Sebelum beliau sampai ke Amerika lagi saya telah menyatakan betapa tidak sesuai dan kelihatan terdesaknya beliau membuat lawatan tersebut.

Di saat penyiasatan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat di fasa kritikal terhadap skandal 1MDB dan Najib sendiri menyatakan PRU-14 sangat hampir, sudah tentu lawatan ini akan dilihat mempunyai agenda peribadi beliau.

Setelah Najib tiba di Washington DC, ternyatalah ramalan tersebut menjadi tepat dan lebih jelas.

Keputusan untuk Najib dan rombongan untuk tinggal di Trump International Hotel kelihatan tersangat jelas untuk mengambil hati Trump dan mempunyai unsur untuk “menyumbang kepada perniagaan Trump” tanpa rasa malu atas satu percubaan sogokkan cara murahan.

Disebabkan pertanyaan pihak media Amerika, pihak setiausaha media Rumah Putih terpaksa menafikan mereka yang menentukan tempahan hotel Trump untuk Najib.

Kenyataan yang amat aneh dan menghairankan dikeluarkan oleh Najib “We want to help you in terms of strengthening your economy…”, – Malaysia sebuah negara masih membangun yang mempunyai hutang hampir RM1 trillion membuat tawaran untuk membantu negara termaju dan ekonomi terbesar dunia.

Menyusukan kera

Ini hakikatnya bukanlah merupakan tawaran bantuan tetapi merupakan lebih tawaran menyembah ufti seperti membayar wang perlindungan kepada negara kuasa besar. Di manakah maruah negara kita hari ini.

Tidak cukup dengan penghinaan menyembah negara Amerika seolah kita bukan negara yang merdeka, Najib menawarkan pelaburan RM16 billion wang keringat penat-lelah penyimpan KWSP yang berkerja sepanjang hayat mereka, untuk pembinaan infrastruktur di Amerika.

Adakah infrastruktur Malaysia begitu baik apabila masih ramai rakyat Sabah, Sarawak dan Kelantan tidak mempunyai bekalan air ataupun air paip yang bersih.

Pan Borneo Highway yang telah dijanjikan sejak beberapa pilihan raya belumpun menjadi kenyataan.

Rakyat Terengganu negeri pengeluar minyak dan gas ada rakyat yang tinggal dalam rumah “kotak” – cardboard, berdekatan dengan bandar industri gas Kertih dan nelayan di bandar minyak Kemaman mempunyai pendapatan serendah RM400 sebulan.

Ini sangat menepati peribahasa Melayu- kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kebuluran.

Najib juga berjanji untuk membeli kapal terbang Boeing Amerika berharga RM42 billion, numun kita tidak lupa, tidak berapa lama dahulu syarikat penerbangan MAS mengalami kerugian yang besar dan terpaksa diselamatkan kerajaan, dan beribu juruterbang, juruteknik dan pramugari terpaksa ditamatkan khidmat mereka.

Sekali lagi rakyat orang tempatan boleh dikorbankan tetapi Najib terus bermurah hati untuk “membantu” kepada yang sudah kaya seperti Amerika.

Membunuh rakyat biasa

Najib juga menyatakan sanggup memerangi mereka yang dianggap pengganas mengikut definisi oleh Amerika Syarikat. Ini sebenarnya telah terbukti dengan peranan Malaysia membantu mereka menyerang dan membunuh ribuan rakyat biasa yang miskin di negara Islam Yemen.

Ini dilaporkan dalam dokumen rasmi Bangsa-bangsa Bersatu bertarikh 7 Januari 2017.

Sekali lagi Malaysia menyebelahi negara kaya dan besar Amerika dan Arab Saudi menyerang negara kecil yang miskin Yemen untuk agenda peribadi Najib.

Setelah berkobar-kobar mengutuk Myanmar semasa di Malaysia atas pembunuhan kaum Rohingya dan menggesa Bangladesh membantu pelarian Rohingya, Najib tidak menyentuh isu ini dengan Trump. Hipokrasi Najib sangat terserlah.

Jadi apakah agenda sebenar lawatan Najib ke Amerika dan sebelum ini ke negara China?

Nampak gayanya semata-mata untuk kepentingan menyelamatkan survival politiknya sambil menjual aset-aset utama dan menggadai masa depan Malaysia.

Najib sanggup menyembah negara yang besar dan kaya seperti Amerika, China dan Arab Saudi sambil menggadai maruah, harta negara serta masa depan Malaysia demi survival politiknya.

Setelah kita baru sahaja menyambut 60 tahun “Merdeka”, realiti pahit sebenarnya ialah kepentingan Najib didahulukan, masa depan rakyat digadaikan kepada kuasa asing.

DATUK RAJA BAHRIN SHAHadalah Pengerusi Biro Antarabangsa, AMANAH

– M’kini

.