TEPUKAN GEMURUH BUAT DR M DI DEWAN CINA

Enam belas tahun selepas menyergah Pertubuhan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Cina (Suqiu) sebagai pertubuhan pelampau, Tun Dr Mahathir melangkah masuk ke bangunan yang berkait rapat dengan pertubuhan itu.

Kini menjadi orang penting Pakatan Harapan (HARAPAN) yang gigih mengumpul sokongan bagi mengetepikan parti yang pernah dipimpinnya, kedatangan Dr Mahathir ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) disambut tepukan gemuruh.

Malah sambutan hangat itu kedengaran sebelum pengacara Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Azrul Azwar Ahmad Tajudin mengumumkan namanya.

Kelibat Dr Mahathir kelihatan masuk ke dewan KLSCAH itu kira-kira jam 8.45 malam.

Dijadualkan berucap mengenai topik pelaburan China di Malaysia kemunculan Dr Mahathir turut membuat lebih ramai orang yang sebelum itu berada di luar, berpusu-pusu memenuhi ruang yang disediakan.

Tidak nampak ada mana-mana kaum mendominasi hadirin malam ini.

Tetamu yang menarik perhatian pula termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut menjadi panel ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan pakar ekonomi Prof Dr Jomo K Sundaram.

Di pihak keselamatan, dianggarkan ada kira-kira 40 anggota polis bertugas bagi menghadapi sesuatu kemungkinan tidak diingini.

Langkah itu dipercayai dibuat selepas forum Nothing To Hide 2.0 yang dianjurkan sayap pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia di Shah Alam pada 13 Ogos lalu bertukar menjadi kecoh.

KLSCAH pernah diancam untuk dibakar oleh pemuda Umno pada 2000 apabila Suqiu membuat beberapa tuntutan kepada kerajaan yang dipimpin Dr Mahathir sendiri.

Dr Mahathir melabel pertubuhan berkenaan sebagai komunis dan pelampau selepas 17 rayuan mereka dikemukakan kepadanya menjelang pilihan raya umum ke-10 pada 1999.

Delegasi Pemuda Umno yang membuat ugutan itu diketuai Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang ketika itu menjadi naib ketua pergerakan berkenaan.

Kini menjadi anggota parlimen Kulim – Bandar Baharu Abdul Aziz berkata Pemuda Umno akan bertindak jika Suqiu tidak membuat permohonan maaf berhubung rayuan mereka yang disokong kira-kira 2,000 pertubuhan Cina.

Majlis itu berakhir dengan aman damai kira-kira jam 11 malam.

– M’kini

.