TEORI 3 PENJURU TAK TERPAKAI DI KELANTAN, KATA HUSAM

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan, Datuk Husam Musa yakin situasi pertembungan tiga penjuru tidak akan berlaku di Kelantan.

Bercakap kepada Malaysiakini bekas exco kanan Kelantan itu percaya pada akhirnya nanti Рapabila pilihan raya umum (PRU) diadakan Рhanya akan berlaku dua penjuru di negeri itu.

Katanya, pertembungan yang berlaku nanti hanyalah antara HARAPAN dan BN.

“Pertembungan tiga penjuru (di Kelantan) ini hanyalah teori ugutan oleh PAS. Masa semakin hampir dan perkara ini akan terbukti, insya-Allah,” katanya.

PAS menguasai kerajaan Kelantan sejak PRU kelapan pada 1990. Dengan kerjasama Parti Semangat 46 mereka mengalahkan BN di negeri itu dan kekal menjadi pentadbir sehingga kini.

Bagaimanapun perpecahan dalaman PAS yang kemudian melahirkan Parti Amanah Negara (AMANAH) mengubah landskap politik negara, termasuk Kelantan.

Walaupun masih baru AMANAH didakwa mempunyai pengaruh di Kelantan dan berpotensi membuat kejutan dengan kerjasama PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP.

Pada masa sama sikap PAS yang secara bandingan lebih lunak kepada Umno berbanding DAP dan AMANAH menimbulkan keresahan terhadap sikap sebenar parti itu dalam politik.

Menurut Husam pada PRU akan datang HARAPAN akan hanya berdepan dengan BN yang mendapat kerjasama daripada PAS.

AMANAH akan letak calon

Katanya PAS menguar-uarkan kemungkinan akan berlaku pertembungan tiga penjuru di Kelantan untuk melemahkan HARAPAN.

Bagaimanapun katanya apabila HARAPAN dilihat semakin kukuh PAS hanya ada satu pilihan, iaitu bersama dengan BN.

“Dan dengan sendirinya hanya ada satu lawan satu. Saudara percayalah dengan pandangan saya,” katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (DUN) Salor.

Menurut Husam, dalam mesyuarat HARAPAN Kelantan isu pertembungan tiga penjuru tidak dibangkitkan kerana ia dianggap tidak munasabah.

“Kami tak bangkit dalam perbicangan. Adalah tidak munasabah pertembungan tiga penjuru, apatah lagi melibatkan kerjasama PAS dengan mana-mana parti kompenan HARAPAN.

“Contohnya, PAS nak bekerjasama dengan PKR di parlimen Tanah Merah, manakala AMANAH akan letak calon di DUN bawah parlimen itu. Jadi masih tiga perjuru.

“PAS nak kerjasama dengan BERSATU di Machang untuk lawan Umno, tetapi AMANAH akan tetap letak calon di DUN.

“Jadi di mana saja PAS bertanding, AMANAH akan letak calon bagi pihak HARAPAN,” jelasnya.