Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, DAP yang sejak dari dahulu malah tidak pernah berganjak dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ telah mentafsirkan perkara itu dan permainan politik parti berkenaan menjadi penghalang kepada pro­ses perpaduan nasional antara masyarakat majmuk.

Beliau menjelaskan, pelbagai tindakan parti yang ditunjangi kaum Cina itu selama ini cukup memberi gambaran siapakah DAP sebenarnya termasuk penenta­ngan keras mereka terhadap penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) 355 mengenai pentadbiran Islam yang telah mencabar majoriti umat Islam di negara ini.

“Secara peribadi, ini sebabnya saya sebagai pribumi, Melayu jati, orang Islam dan orang perjua­ngan tetap tegas dengan pendirian saya dan tidak boleh terima DAP. Sebaliknya, saya tentang DAP habis-habisan.

“Bangkangan DAP terhadap RUU 355 dan mereka yang senada dengannya memberi gambaran seolah-olah DAP berhak menentukan perjalanan hal-ehwal Islam di Malaysia. (Perkara itu dapat dilihat) apabila ada keturunan Cina mempersoalkan azan yang kuat di masjid atau surau, apabila umat Islam membuat laporan polis mengenainya, mereka hanya berpeluk tubuh dan diam seribu bahasa,” katanya semasa berucap dalam Persidangan Agung Tahunan Perkasa kali ketujuh, di sini hari ini.

Sebanyak 1,425 perwakilan dari 168 kawasan Parlimen dan kira-kira 1,500 pemerhati menghadiri persidangan itu.

Ibrahim berkata, berdasarkan pelbagai siri penghinaan dan perbuatan biadab yang dilakukan DAP sebelum ini termasuk isu kalimah Allah, memperlekeh­kan raja-raja Melayu dan mempersendakan lagu Negaraku selain mempersoalkan dasar-dasar affirmatif kerajaan, ia adalah luka-luka yang masih berdarah dan sukar dilupakan.

Katanya, tindak-tanduk DAP yang terus mempersendakan Islam itu turut diyakini menjadi punca Pas memutuskan tahalluf siyasi dengan parti itu walaupun kerjasama politik tersebut telah memberikan keuntungan politik yang besar kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Namun bagi Ibrahim, Pas sanggup mengorbankan kepenti­ngan politik mereka dan terpaksa menghadapi kerugian politik semata-mata kerana tidak boleh terima sikap cauvinis DAP.

“Jadi, secara peribadi, saya tabik hormat kepada Pas. Sebab itu, jika ada mana-mana parti politik yang berhasrat untuk be­kerjasama dengan DAP, fikirlah seribu kali. Walaupun niat dan strateginya adalah untuk mendapatkan kemenangan politik, insaflah bahawa kesucian Islam dan maruah bangsa tidak boleh dijual beli atau digadaikan demi mencapai cita-cita politik,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, penentangannya terhadap DAP bukan bermakna beliau anti-Cina atau kerana ia dipimpin oleh keturunan Cina, sebaliknya pendirian itu dibuat atas dasar sikap, pendirian dan kerenah cauvinis DAP.

Katanya, beliau amat menghormati kaum Cina kerana mereka adalah rakyat Malaysia yang sah dan turut memiliki hak-hak yang sah dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak pernah anti-Cina. Sejak beberapa tahun lamanya, rakan kongsi perniagaan saya pun keturunan Cina.

“Namun, kaum Cina juga harus sedar permainan politik DAP yang menjadi penghalang kepada pro­ses Perpaduan Nasonal di Malaysia yang majmuk,” katanya.

UTUSAN

.