TEMPOH TAHANAN SOSMA KEKAL 5 TAHUN LAGI

Tempoh penahanan maksimum 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan terus dikuatkuasakan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai 2017.

Perkara itu diluluskan persidangan Dewan Rakyat malam ini selepas usulsemakan pelaksanaan subseksyen 4(5) di bawah Akta berkenaan dikemukakan

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed lewat malam ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan usul itu diluluskan melalui undian belah bahagian yang menyaksikan 93 anggota Parlimen menyokong pindaan Akta itu berbanding 77 menentang.

Nur Jazlan ketika penggulungannya berkata cadangan pelanjutan tempoh penahanan 28 hari di bawah subseksyen 4(5) Akta tersebut merupakan kali pertama dibuat sejak Akta itu dikuat kuasa pada 31 Julai 2012.

Katanya subseksyen 4(5) dihadkan kepada lima tahun sahaja bagi mengelakkan persepsi bahawa ia akan disalah guna pihak polis, di samping bertujuan mewujudkan elemen semak dan imbang dalam penguatkuasaannya.

Menurutnya, pelanjutan tempoh penahanan maksimum 28 hari itu masih diperlukan bagi memberi kekuatan kepada Akta berkenaan yang memerlukan siasatan dibuat dengan teliti terutamanya dalam mendapatkan keterangan dan mengesan penjenayah yang masih bebas.

“Tempoh tersebut juga akan membantu pihak polis menjalankan siasatan dan melancarkan proses pendakwaan di mahkamah, walaupun secara realitinya pihak polis mempunyai 28 hari untuk melakukan penyiasatan, namun secara tersiratnya pihak polis hanya mempunyai tempoh 21 hari sahaja untuk membuat penyiasatan.

“Hal ini berikutan baki tujuh hari tersebut pihak polis perlu menyerahkan kertas siasatan yang telah lengkap kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” katanya.

Beliau berkata sekiranya tempoh penahanan maksimum itu tidak dilanjutkan, kualiti siasatan pihak polis dikhuatiri akan terjejas kerana penyiasatan tersebut dikhuatiri dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

“Dengan kemajuan teknologi komunikasi dan multimedia pada masa ini, pesalah yang dilepaskan akan mengambil tindakan untuk bersembunyi atau melarikan diri ke luar negara,” katanya.

Subseksyen 4(5) Sosma memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan untuk siasatan selama tempoh tidak lebih 28 hari.

Manakala subseksyen 4 (11) Sosma pula menyebut subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa apabila diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) untuk tidak melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.
Selain itu, Nur Jazlan turut memaklumkan sesi mesyuarat bahawa Sosma berjaya mengambil tindakan pendakwaan terhadap lebih daripada 50 peratus tahanan sejak lima tahun lepas.

“Sehingga kini, seramai 989 orang ditahan di bawah Sosma bagi tempoh 31 Julai 2012 hingga 22 Feb lepas. Sebanyak 363 telah dibebaskan dan 139 dalam proses perbicaraan manakala 502 orang telah dijatuh hukum,” katanya.

Justeru, dakwaan Sosma gagal mengekang keganasan adalah tidak benar sama sekali, tegasnya.

-Bernama