TEMPOH SUKAR KAMI SUDAH BERLALU, KATA CEO FGV

Peningkatan keuntungan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bagi 2017 dan tempoh seterusnya akan dipacu oleh pertambahan jumlah pokok sawit matang, kata Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad.

“Tempoh sukar kami sudah berlalu. Kami akan mengumumkan keputusan suku keempat pada 22 Februari dan Insya-Allah ia adalah lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina anjuran FGV di
ibubegara malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman keputusan kewangan akan datang.

Bagaimanapun, Zakaria enggan mengulas lanjut mengenainya, namun pada masa sama beliau yakin keputusan berkenaan adalah positif.

Selain harga minyak sawit mentah (MSM) yang semakin baik, beliau berkata usaha penanaman semula oleh FGV juga mula mengeluarkan hasil.

FGV menjalankan penanaman semula pada purata ladang seluas 16,000 hektar setahun.

Bagi tahun ini, sejumlah 70,000 hektar kawasan penanaman dijangka mencecah tempoh matang.

Ini akan meningkatkan hasil tandan buah segar sebanyak 500,000 tan, sekali gus menjadikan hasil keseluruhan sebanyak 4.6 juta tan.

FGV turut dapat mengurangkan kos pengurusan yang memberi sumbangan positif kepada keuntungan kumpulan itu.

– Bernama

.