TEMBAKAN PEMANDU BEKAS PEGUAM NEGARA TIADA KAITAN DENGAN 1MDB, KATA POLIS

POLIS hari ini menafikan wujudnya kaitan antara kes tembakan pemandu bekas peguam negara dan skandal syarikat sarat hutang negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), walaupun Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengatakan kejadian tembakan itu mungkin satu amaran kepada saksi supaya tidak membantu siasatan skandal itu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengetepikan kaitan 1MDB dengan kes tembakan melibatkan pemandu bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail.

Katanya siasatan setakat ini menunjukkan yang kejadian tembakan pada 29 Ogos itu tidak berkaitan dengan Gani yang bersara pada Oktober 2015.

Gani pernah mengetuai pasukan khas yang menyiasat skandal 1MDB ketika beliau disingkirkan daripada jawatan dan kemudian diganti dengan peguam negara sekarang, Mohamed Apandi Ali.

“Setakat ini yang saya tahu tiada kaitan,” kata Fuzi kepada The Malaysian Insight melalui mesej pesanan ringkas.

Bloomberg melaporkan yang dalam pemfailan mahkamah persekutuan di Los Angeles semalam, FBI berkata beberapa individu di “beberapa negara asing tertentu” bimbangkan keselamatan mereka, sementara ada saksi yang mengatakan terlalu bahaya untuk bekerjasama dalam siasatan jenayah berkaitan 1MDB.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) melancarkan siasatan jenayah ke atas dana yang didakwa merompak 1MDB dan mahu menangguhkan saman sivil yang difailkan sejak dua tahun lepas yang bermatlamat merampas lebih daripada AS$1 bilion (RM4.3 bilion) hartanah dan aset lain.

Blomberg mengatakan saksi yang tampil untuk memberikan maklumat memberitahu FBI yang mereka bimbang kerana meletakkan “ keselamatan diri dan ahli keluarga mereka dalam ancaman serius”.

Dalam pemfailan itu, FBI memetik laporan portal berita Malaysia yang mengatakan beberapa pegawai tempatan ditahan  kerana peranan mereka dalam siasatan salah guna dana dan kuasa dalam 1MDB.

Ia juga memetik kejadian tembakan ke atas pemandu Gani pada 29 Ogos lalu, mengatakan ia mungkin satu amaran kepada bekas peguam negara itu supaya tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Perkembangan itu berlaku selepas lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Washington dan White House atas undangan Presiden Donald Trump minggu hadapan.

Siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1MDB tertumpu kepada dakwaan salah laku kewangan dan penggubahan wang haram. Siasatan juga dilakukan di Switzerland, Luxembourg, Hong Kong, Singapura, United Kingdom, UAE dan Seychelles.

Najib yang merupakan pengerusi lembaga penasihat IMDB sehingga tahun lepas menafikan wujudnya salah laku dan Peguam Negara Apandi juga membebaskan perdana menteri itu daripada penglibatan dalam syarikat pelaburan negara yang kerugian berbilion ringgit itu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Hamzah Alias memberitahu The Malaysian Insight yang masih tidak wujud perkembangan dalam siasatan kejadian tembakan itu.

“Kami belum membongkar motif tembakan dan setakat ini masih tiada yang ditangkap berkaitan kes itu,” katanya.

Beliau turut menambah yang polis sejak awal lagi menafikan wujud kaitan kes itu dengan Gani atau 1MDB.

“Ia tiada kaitan dengannya (Gani),” kata Hamzah dalam satu panggilan telefon.

Pemandu Gani berusia 40 tahun itu ditembak di kaki oleh dua lelaki bermotosikal di depan rumahnya pada 29 Ogos ketika bersiap hendak pergi kerja.

Suspek melepaskan tembakan selepas memanggil namanya. Pemandu itu sudah bekerja dengan Gani sejak Januari tahun ini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.