‘TEMAN BAIK’ ISTERI PUNCA RUMAHTANGGA AHOK BERANTAKAN

Perbicaraan kes tuntutan cerai bekas gabernor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali sebagai Ahok hari ini ditunda selepas wakil isterinya tidak hadir.

Adik Ahok, Fifi Lety Indra yang hadir mewakili abangnya menjelaskan, Ahok dan Veronica sebelum ini dibenarkan menghantar wakil untuk perbicaraan itu.

Bagaimanapun, menurut Fifi yang dipetik media Indonesia berkata, wakil Veronica gagal hadir menyebabkan perbicaraan itu terpaksa ditunda ke 7 Februari depan.

Sementara itu, Tribunnews.com memetik Fifi yang merungkai sebab perceraian Ahok yang didakwa mempunyai kaitan dengan orang ketiga.

Menurut Fifi, Ahok serta anak sulungnya, Nicholas Sean pernah menemui orang ketiga yang dinamakan sebagai Yulianto.

Ketika pertemuan itu, jelas Fifi, Ahok sudah menjadi gabernor Jakarta.

Dalam pertemuan itu, ujar Fifi lagi, Ahok meminta agar mereka sama-sama menjaga rumahtangga masing-masing memandangkan Yulianto juga sudah berkahwin.

“Ahok itu seorang gentleman. Dia langsung bertemu dengan Yulianto dan meminta agar tidak menghubungi Bu Vero (Veronica) lagi,” katanya.

Ahok melalui peguamnya memfailkan tuntutan cerai terhadap Veronica pada Januari lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 6 September 1997 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Ahok ketika ini masih menjalani hukuman dua tahun penjara setelah disabitkan bersalah atas dakwaan menghina agama.

Ketika menjadi gabernor Jakarta, Ahok dilihat sebagai seorang yang lantang bersuara berkenaan isu-isu rasuah melibatkan ahli politik selain seorang yang lincah berhujah.

– M’kini

.