TELAHAN AKHBAR SINGAPURA: PRU14 – APRIL, MEI ATAU OKTOBER?

Meskipun hayat Parlimen tidak perlu dibubarkan sebelum Ogos tahun depan, akhbar harian Singapura, Straits Times, membuat spekulasi mengenai bila pilihan raya umum akan datang.

Menurut akhbar itu tidak mungkin pilihan raya umum diadakan pada bulan puasa atau minggu selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.

Musim tengkujuh, katanya, adalah satu lagi tempoh pilihan raya dielakkan berikutan banjir di negeri-negeri pantai timur.

Berdasarkan faktor-faktor ini, Straits Times berkata adalah tidak mungkin bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen pada bulan Januari, Februari, Mac, Jun, September, November atau Disember 2017.

“Slot jelas untuk mengadakan pilihan raya adalah pada separuh pertama tahun depan iaitu pada bulan April dan Mei, sebelum ibadah puasa bermula pada 27 Mei, kata pemerhati politik,” petik laporan itu.

Bagi separuh kedua tahun 2017, akhbar itu berkata masa yang sesuai adalah sekitar akhir Julai hingga awal bulan Ogos, tetapi kebanyakan penganalisis dan ahli politik lebih memihak kepada bulan Oktober.

Penganalisis Amir Fareed Rahim daripada kumpulan perundingan KRA adalah antara mereka yang percaya pilihan raya akan diadakan pada bulan Oktober berdasarkan beberapa faktor.

Pada bulan Ogos nanti, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA, di mana ia berharap untuk meraih sebanyak manapingat emas. Susulan itu, negara akan menyambut kemerdekaan ke-60 pada 31Ogos.

Perdana menteri kemudian dijadual membentangkan bajet pilihan raya pada bulan Oktober, yang lazimnya dilakukan pada minggu ketiga bulan ini.

“Kejayaan sukan SEA, sambutan kemerdekaan dan Bajet; naratifnya adalah jika mahu semua ini, terus undi kami,” kata Amir.

Straits Times juga menyatakan reputasi Najib sebagai seorang ahli politik yang cukup berhati-hati berhubung pemilihan tarikh pilihan raya.

“Najib tidak dikenali sebagai seorang yang membuat keputusan muktamad. Jika perkara itu tidak pasti, beliau akan melenggah-lenggahkannya, beliau bukan seorang yang mengambil risiko,” kata felo Institut Pulau Pinang Wong Chin Huat.

Dalam perkembangan yang sama, ada juga pemerhati yang mendakwa bahawa perdana menteri mungkin akan menunggu sehingga proses persempadanan semula selesai memandangkan ia kini ditangguhkan kerana perbalahan undang-undang.
Pada pilihan raya umum 2008, buat kali pertama parti pemerintah BN sejak kemerdekaan, hilang dua pertiga majoriti di Parlimen dan kehilangan lima negeri.

Pada pilihan raya 2013, Najib juga dikejutkan apabila pembangkang menang undi popular meskipun beliau berjaya merampas semula Kedah.

– M’kini

.