‘Teknologi maju, rakyat mundur kebenaran tertinggal’

Di sebalik kecanggihan teknologi rakyat negara ini masih tertinggal daripada mendapat berita yang “benar”, kata seorang wartawan veteran.

Menurut Datuk A Kadir Jasin dalam keadaan semasa orang ramai dilihat terus “dibuku ketakutan” gara-gara kekangan kerajaan serta kongkongan pemilikan agensi media.

“Dari segi teknologi, kita maju… tapi di satu aspek lain kita diburu ketakutan. Kita juga tak bergerak ke hadapan tapi mundur ke belakang,” katanya

Pada masa sama kata Kadir wartawan pula semakin takut dan taasub kepada pimppinan.

Malah katanya orang ramai dipaksa untuk setia.

Bagaimanapun katanya wartawan perlu beringat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat.

“Saya rasa kepada yang nak jadi wartawan, kena ingat – sejauh mana dan sehebat mana kita dikawal pemilik (syarikat) kita, kita punyai tanggungjawab untuk maklumkan (kebenaran) kepada masyarakat,” katanya di Shah Alam hari ini.

Kadir menjadi salah seorang panel forum bertajuk Merdekakah Media Kita? yang diadakan di Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam.

Forum itu turut dibarisi Ketua Pengarang Projek MMO Fathi Aris Omar (gambar), aktivis media Gayathry Venkiteswaran dan Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Unisel Prof Dr Azmuddin Ibrahim.

Menurut Kadir turut memburukkan lagi keadaan wakil rakyat kini tidak lagi mewakili orang yang memilih mereka dalam pilihan raya apabila membincangkan isu melibatkan akta yang menaungi media sebaliknya memihak kepada Peguam Negara.

“Kebertanggungjawaban semakin hari makin kurang. Kita ada (media) sosial yang bebas (tetapi kita) tak ada hak (bersuara) dan kita masih ditekan.

“Ironinya orang yang sepatutnya mewakili kita – wakil rakyat – (tidak lagi) mewakili kita.

“Wakil rakyat patut melihat undang-undan itu dari aspek kepentingan orang yang memilih mereka,” katanya.

Forum lebih banyak

Sementara itu Fathi pula berkata sistem di negara ini perlu diubah untuk mendapatkan media yang lebih bebas.

Katanya undang-undang juga perlu dipastikan dapat melindungi kebebasan media kerana ketika ini pengamal media ‘berperang’ melawan peraturan yang menindas.

Fathi kemudian menjadikan portal Malaysiakini yang dinafikan hak menerbitkan akhbar bercetak walaupun menang di mahkamah sebagai contoh kepada kebebasan media.

Beliau yang juga jurucakap Gerakan Media Marah (Geramm) berkata, tanggungjawab membebaskan media itu tidak hanya terletak di tangan wartawan dan editor sebaliknya perlu dimainkan semua pihak.

“(Kebebasan) media bukan hanya perlu diperjuangkan oleh wartawan dan editor kerana itu (memang) ruang asas mereka, tapi yang mendirikan media adalah penyokong dan pembaca.

“Media adalah satu jasad masyarakat (tapi) adakah kecenderungan dalam masyarakat (begitu)?” soalnya di hadapan kira-kira 300 penonton yang hadir.
Manakala Gayathry pula berkata media di negara ini belum lagi merdeka kerana masih dibayangi kebimbangan terhadap kekangan kerajaan.

“Dalam konteks Malaysia kita selalu dengar kita ada kebebasan ‘tapi’ ada larangan. Berhentilah justifikasi kenapa ada larangan.

“Kebebasan media sudah ada kerangkanya. Memang kita belum merdeka kerana kita terlalu takut kerana ada ‘tetapi’ itu,” katanya yang menambah bagi mengecapi kebebasan seharusnya lebih banyak forum perlu dibuat. – M’kini

.