TEGURAN MAJLIS RAJA-RAJA DISAMBUT BAIK

Datuk Seri Azmin Ali menganggap pendirian Majlis Raja-raja mengenai isu perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini sebagai “cahaya yang menyuluh” untuk memimpin rakyat menghadapi cabaran semasa.

Kata Menteri Besar Selangor itu umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menjunjung pedoman raja-raja Melayu mengenai sifat toleransi Islam serta kesederhanaan dan inklusifnya.

Menurut Azmin pedoman raja-raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi raja berperlembagaan dan peranan signifikan mereka sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat.

“Justeru, dengan penuh rasa tawaduk, saya ingin menyatakan bahawa prinsip-prinsip toleransi, kesederhanaan dan keharmonian yang disegarkan dan ditegaskan semula oleh raja-raja Melayu akan terus menjadi tiang seri kerajaan Selangor.

“Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Selangor untuk menolak gutter politics, budaya samseng dan fahaman rasis.

“Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Majlis Raja-raja Melayu menyatakan rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini adalah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

“Sejak kebelakangan ini, tindakan-tindakan oleh individu-individu tertentu yang bersifat keterlaluan, dibimbangi boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum.

“Raja-raja berpendirian isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” kata kenyataan itu.

Kerencaman harus diraikan

Menurutnya, Majlis Raja-raja Melayu amat menghargai pendirian tegas yang dizahirkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung kes ‘dobi untuk Muslim saja’.

Begitu juga dengan pendirian yang dizahirkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kes yang serupa di negeri Perlis.

Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu juga percaya perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia.

“Setelah enam puluh tahun mencapai kemerdekaan, amatlah penting untuk rakyat terus mengamalkan nilai-nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan serta didukung oleh semangat yang terkandung di dalam Rukun Negara,” menurutnya.

Sementara itu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kebimbangan ditunjukkan Majlis Raja-raja Melayu itu harus dipandang serius oleh semua pihak.

Katanya PKR menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Menurut Dr Wan Azizah lima prinsip Rukun Negara harus dijadikan panduan serta pedoman oleh semua pihak.

“Sesungguhnya kepelbagaian dan kerencaman agama, bangsa dan budaya merupakan rahmat dan kekuatan kita.

“Kepelbagaian dan kerencaman itu harus diraikan. Keharmonian di antara rakyat di negara ini harus dipertahankan,” katanya.

Bagi kumpulan G25 yang dianggotai bekas pegawai kanan kerajaan menyambut baik teguran Majlis Raja-raja terhadap tindakan keterlaluan sesetengah pihak.

“Tindakan beberapa individu dan kumpulan tertentu ini melambangkang perubahan yang semakin jauh daripada kesederhaaan Islam dan Malaysia, bercanggah dengan pendirian kerajaan di peringkat antarabangsa.

“Sesungguhnya tindakan segelintir pelampau ini mengudang ancaman serius terhadap keamanan, keharmonian dan kestabilan negara yang kita cintai ini,” katanya dalam satu kenyataan.

– M’kini

.