Tazkirah Hadi mengenai Haron Din sentuh sanubari

SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan agar masyarakat mengambil pengajaran dan iktibar daripada sumbangan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din kepada Islam.

Berkata ketika memberi tazkirah selepas solat jenazah ghaib di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini, Abdul Hadi berkata, banyak kisah yang baik boleh diambil daripada apa yang dilakukan oleh Allahyarham.

“Allahyarham Haron Din adalah seorang ulama yang telah habiskan hayatnya untuk Islam. Sekiranya ingin ambil pengajaran dan iktibar, ambillah pengajaran dari mereka yang sudah meninggal dunia.

“Yang di akhir umurnya dengan menyebarkan ilmu, sebar Islam dan memberi sumbangan pada Islam,” kata Abdul Hadi.

Dalam pada itu, dengan nada yang penuh menyentuh sanubari Abdul Hadi turut meminta sekiranya Allahyarham mempunyai kesalahan agar orang ramai memaafkannya kerana menurutnya, manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan.

“Bagi pihak Pas dan keluarga, saya meminta sesiapa yang ada apa-apa kesilapan Allahyarham lakukan kesalahan, kerana manusia tak lari dari kesalahan, kalau ada diminta memaafkan.

“Mudah-mudahan kita dapat pahala dengan memaafkan orang,” ujar beliau.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Masjid An Noor Santa Clara pada jam 11.40 pagi (2.40 pagi waktu Malaysia).

Solat jenazah pula dilakukan selepas solat Jumaat kira-kira jam 2.21 petang (5.21 pagi waktu Malaysia) di Masjid Muslim Community Association yang diimamkan sendiri anak lelakinya, Hamidi Haron.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 10.05 pagi semalam pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat (AS) akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham disemadikan di bumi Carlifornia bersesuaian dengan amanatnya sebelum ini yang mahu disemadikan di tempat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata. – Sinar Harian

.