TAWARAN ROKET DAN RADAR CHINA GONCANG HUBUNGAN MALAYSIA-SINGAPURA

TAWARAN China untuk membekalkan pelancar roket termaju dan sistem radar bukan sahaja menggegarkan komuniti ketenteraan di rantau ini, tetapi juga menyebabkan Singapura memohon pengesahan pembelian itu dari Malaysia.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan tentang tawaran China itu Rabu lepas dan dalam masa 24 jam, difahamkan yang diplomat Singapura memberikan tekanan kepada Putrajaya supaya mendedahkan butir-butir tawaran itu walaupun setakat ini masih tiada penjelasan diberikan.

Sumber mengatakan sikap berat mulut Malaysia itu diambil kerana tawaran China itu dilakukan pada pertemuan peringkat tertinggi semasa lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Beijing Mei lalu.

“China membuat tawaran itu dengan syarat yang menarik semasa pertemuan dan pihak Malaysia dengan lembut mengatakan yang ia akan mempertimbangkannya.

“Tiada yang termaktub lagi. Ia tidak lebih sekadar perbualan antara dua pemimpin tertinggi negara masing-masing,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

“Jadi tiada apa yang hendak diraikan. Kita tak tanya pun jiran kita tentang apa yang mereka beli. Jadi mengapa kekecohan ini wujud?” tambahnya.

Pegawai di Malaysia termasuklah Timbalan Menteri Pertahanan Johari Baharum terkejut dengan laporan The Malaysian Insight dan mengatakan mereka tidak mengetahui mengenai tawaran itu.

“Ia berasaskan keperluan untuk tahu, dan ada orang yang tak perlu tahu,” kata seorang lagi sumber di Malaysia.

Dia mengatakan yang pembelian ketenteraan adalah perkara rahsia walaupun tawaran seringkali dibuat sepanjang masa ketika pelbagai ekspo dan jelajah perdagangan ketenteraan yang berlaku. “ Orang tunjuk produk mereka, buat tawaran dan kami hanya tersenyum,” tambah sumber Malaysia itu.

Rabu lalu, The Malaysian Insight melaporkan yang China menawarkan pelancar roket termaju dan sebuah sistem radar untuk ditempatkan di Johor, menggambarkan jurang perdagangan ketenteraan yang semakin meluas antara negara di kawasan Laut China Selatan.

Singapura, negara yang selama ini tidak banyak peduli urusan negara jiran dikatakan mendesak Putrajaya mengeluarkan butir tawaran pembelian itu. – Gambar EPA, 11 Ogos, 2017.
Singapura, negara yang selama ini tidak banyak peduli urusan negara jiran dikatakan mendesak Putrajaya mengeluarkan butir tawaran pembelian itu. – Gambar EPA, 11 Ogos, 2017.

Tawaran dengan faedah pembelian rendah itu dilakukan delegasi pegawai tertinggi diketuai utusan khas Presiden China Xi Jinping semasa lawatan menghadiri pelancaran Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) hari itu.

“Sejumlah 12 unit sistem pelancar roket pelbagai AR3 (MLRS) ditawarkan kepada Malaysia dalam program pembelian dengan tempoh pinjaman 50 tahun,” satu sumber memberitahu The Malaysian Insight.

“MLRS yang mempunyai keupayaan pelancaran sejauh 220km akan ditempatkan di Johor juga akan dilengkapi dengan sistem radar,” tambah sumber itu, mengesahkan laporan The Malaysian Insight April lalu mengenai tawaran itu

Tetapi laporan itu tidak menyebut sama ada Putrajaya sudah mengesahkan untuk bersetuju dengan tawaran terbaru China itu.

“Mereka tahu kami berminat mendapatkan peralatan ketenteraan terbaru, jadi tawaran itu dilakukan secara lisan di Beijing Mei lalu dan sekali lagi di Kuantan minggu ini. Itu saja,” tambah sumber dari Malaysia.

Malaysia sebelum ini menandatangani perjanjian untuk membeli empat buah kapal misi litoral dari China, pembelian terbanyak dari Tanah Besar itu yang dilihat banyak pihak sebagai satu tamparan kepada Barat yang selama ini membekalkan senjata kepada Malaysia.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.