TAWARAN NAJIB MAHU PULIH EKONOMI AMERIKA – “ULAR LIDI” MENYUAPKAN MAKANAN KEPADA “ULAR SAWA”

Tiada yang percuma dalam lawatan Najib Razak ke Amerika Syarikat serta pertemuannya dengan Donald Trump kali ini yang nampaknya amat menggembirakan jentera propaganda berbayar UMNO dan BN untuk “spin cerita” menghadapi pilihanraya akan datang.
Selain sebagaimana yang disebut sebelum ini dan dinyatakan semalam oleh Rafizi Ramli bahawa besar kemungkinan lawatan dan pertemuan dengan  Presiden Amerika itu adalah hasil kerja Godfrey Group Ltd yang dipercayai telah membayar RM1.125 juta kepada pelobi yang merupakan bekas pembantu Trump, hakikatnya ialah Malaysia terpaksa membayar harga yang amat mahal untuknya.
Didedahkan pada Mei sebelum ini, Godfrey yang mewakili Pejabat Perdana Menteri telah membuat bayaran kepada pelobi tersebut dengan tujuan yang tidak dinyatakan, di ketika saman sivil DOJ terhadap 1MDB menjadi bualan di seluruh dunia.
Semasa membalas ucapan Trump yang mengalu-alukan kedatangannya ke Rumah Putih, Najib berkata, “kami datang ke sini dengan cadangan yang besar untuk membantu Amerika mengukuhkan ekonominya.”
Ehhh….ini sudah terbalik  dan pelik beb!!
Malaysia sebagai “negara ular lidi”  pula yang menawarkan bantuan Amerika sebagai “negara ular sawa” untuk memulihkan ekonominya.
Kalau Malaysia mengharapkan bantuan Amerika ada juga munasabahnya.
Di sebalik negara sendiri bergantung kepada China dengan berhutang selama 20 tahun untuk membina landasan keretapi Pantai Timur, mengemis cukai GST setiap hari daripada rakyat, memotong banyak subsidi, menamatkan elaun guru pelatih dan tidak mampu memasang CCTV untuk balai polis – suatu bukti bahawa Malaysia sebenarnya kekeringan wang – Najib dengan tiada rasa bersalah dan selamba mahu membantu mengukuhkan ekonomi Amerika.
Apakah dalam masa yang sama Najib sudah cukup cemerlang dalam mengukuhkan ekonomi Malaysia sendiri?
Dalam usaha “ular lidi” mahu mengenyangkan “ular sawa” yang tidak cukup makan itu, tiga pakej yang ditawarkan Najib ialah menambah pembelian 25
pesawat Boeing untuk MAS yang dalam tempoh lima tahun bernilai antara AS$10 bilion hingga AS$20 bilion, menggunakan dana pencen KWSP untuk melabur sehingga AS$4 bilion untuk menyokong pembangunan prasarananya  dan Khazanah Nasional akan dikembangkan  lagi peranannya di Amerika.
Keadaan ini jelas berbeza semasa kepimpinan Tun Mahathir di mana semasa lawatannya ke luar negara dahulu, syarikat-syarikat Malaysia yang ditawarkan dan menandatangani pelbagai perjanjian projek di luar negara, bukannya kita memberi projek kepada negara yang dilawatinya.
Langkah Tun Mahathir itu secara langsung mengukuh dan memberi pendapatan kepada syarikat-syarikat tempatan, tidak sama sekali membiarkan dana dalam negara mengalir keluar di ketika  rakyat kita sendiri sebagai “ular lidi”  di mana masih ramai yang mengikat perut dan tidak cukup makan.
Kenapa Najib sanggup melakukan sedemikian rupa?
Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana Najib datang ke Amerika kali ini dengan jiwa penuh bersalah kerana skandal 1MDB yang sedang disiasat oleh DOJ berkaitan jenayah penyelewengan serta penggubahan wang haram dan saman sivil untuk merampas aset-aset yang dibeli menggunakan dana kekayaan negara yang dilencongkan.
Keutamaan mengguna dan memanfaatkan lawatan ke Amerika dan kemesraan dengan Trump itu bagi kepentingan memenangi pilihanraya sudah menjadi tujuan penting sebenarnya.
Maka itu, tentu saja beliau akan menggunakan apa saja cara, termasuk terpaksa mengambil wang negara untuk membeli jiwa Amerika bagi membersihkan diri dan menunjukkan kepada rakyat tiada sebarang tindakan dihadapkan kepadanya, meskipun sehingga ini pentadbiran Amerika tetap mengatakan siasatan DOJ akan  diteruskan seperti biasa.
Tiada apa yang patut digembirakan dengan lawatan Najib ke Amerika ini, melainkan “ular sawa” akan tetap dengan tabiat kekenyangannya dan “ular lidi” kekal dengan kelaparannya.