‘TARIKH’ PRU14 TULAR DI MEDIA SOSIAL

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai tarikh pembubaran Parlimen dan hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang sedang tular dalam media sosial.

Pengerusinya Mohd Hashim Abdullah berkata hak membubarkan Parlimen adalah bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

Dalam kenyataannya hari ini beliau berkata mesej yang sedang tular dan mendakwa kononnya Parlimen akan dibubarkan pada 11 Januari 2018, penamaan calon pada 11 Mac dan hari mengundi ditetapkan pada 25 Mac, adalah tidak munasabah.

“Ini kerana tarikh pembubaran dan pengundian yang dinyatakan adalah melebihi tempoh 60 hari seperti yang dinyatakan bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa apabila Parlimen dibubarkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh bubar,” katanya lagi.

– Bernama

.