TARIK BALIK ‘MUSUH AS MUSUH MALAYSIA’, DR MAHATHIR MINTA NAJIB

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menggesa Najib Razak menarik balik kenyataannya mengatakan “musuh Amerika Syarikat (AS) adalah musuh Malaysia” ketika lawatan perdana menteri ke negara itu pada September.

Dr Mahathir berkata ini kerana AS menganggap Palestin sebagai musuh dan Malaysia harus menjelaskan kepada dunia, kepada siapa sebenarnya Putrajaya berpihak dalam isu ini.

“Kami pembangkang mendesak Najib menarik balik kenyataannya kepada Donald Trump bahawa ‘musuh AS adalah musuh Malaysia’ semasa beliau melawat presiden AS itu.

“Ini kerana AS menganggap Palestin sebagai musuh AS.   Malaysia harus memberi jaminan kepada dunia bahawa Palestin bukanlah musuh kita dan kita memihak kepada Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin,” tulis Dr Mahathir dalam blog popularnya chedet.cc hari ini.

Semasa melawat Trump pada September, selain mengatakan mahu membantu mengukuhkan ekonomi negara itu, Najib berikrar menjadikan musuh AS sebagai musuh Malaysia.

Tulisan Dr Mahathir itu disiarkan ketika Malaysia menyertai 128 negara mengundi pada perhimpunan khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis menolak perisytiharan Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Tulisan Dr Mahathir itu juga disiarkan ketika Najib dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan bersama-sama menghadiri Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Najib menyeru umat Islam di Malaysia untuk menghadiri himpunan itu di Putrajaya hari ini.

Katanya, kehadiran itu penting bagi menunjukkan sokongan dan perpaduan umat Islam di Malaysia dalam menentang kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Dr Mahathir, yang semasa 22 tahun jadi perdana menteri lantang mengangkat ke pentas dunia isu hak Palestin untuk bernegara, berkata sebagai pemimpin, kerajaan Najib sepatutnya bertindak dengan “lebih bermakna”.

“Demonstrasi Umno dan PAS hari ini akan menjadi lebih bermakna jika ia menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak terhadap Trump dan AS.

“Kami menggesa kerajaan pimpinan Umno untuk mengikut jejak Turki dengan menubuhkan konsulat Malaysia di Baitulmuqaddis sebagai pengiktirafan kepada kerajaan Palestin, di ibu negaranya,” katanya.

Dr Mahathir berkata PH juga mendesak kerajaan Malaysia untuk mengundi memihak kepada draf resolusi untuk mengutuk keputusan AS yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Trump menimbulkan kemarahan dunia sejak 6 Disember lepas apabila mengumumkan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis – ibu kota yang dianggap suci bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi – sebagai ibu negara Israel.

Trump juga mengumumkan rancangan Washington memindahkan pejabat kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Pengumuman Trump itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa yang melihat tindakan itu sebagai memburukkan lagi ketegangan di Asia Barat.

Pengumuman Trump memindahkan pejabat kedutaan Washington ke Baitulmuqaddis adalah rentetan daripada usul yang diluluskan di Kongres pada 1995 tetapi tidak pernah dilaksanakan oleh tiga presiden AS sebelumnya, Bill Clinton, George W Bush dan Barack Obama.

Pengumuman Trump itu sekali gus menandakan perubahan dasar Washington mengenai penyelesaian “dua negara” dalam usaha damai konflik Palestin-Israel.

Washington pada Isnin menggunakan kuasa vetonya menolak ketetapan Majlis Keselamatan berhubung status Baitulmuqaddis selepas 14 anggota badan itu mengundi untuk menyokong teks draf yang digubal oleh Mesir.

– https://www.themalaysianinsight.com

.