TARIAN POLITIK GABUNGAN PEMBANGKANG, UMNO TERTINGGAL BAS

 

Pada hujung minggu lepas di Terengganu, Presiden parti BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dijemput ke satu ceramah yang dihadiri oleh beberapa pimpinan tertinggi PAS.

Antara yang hadir ke acara 4 hari tersebut termasuklah Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Idris Ahmad.

Apa yang menarik adalah intipati ucapan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat iaitu Mustafa Ali pada malam itu. Antara sedutan ucapannya ialah:

“Kalau hendak tumbangkan BN kita perlu kalahkan Umno terlebih dahulu sebab majoriti kerusi BN didominasi Umno. Kita bukan perlu semua kerusi Umno, kalau dapat lebih separuh menang pun kita (pembangkang) akan menang.

“Semua ini bukan kerja sukar tetapi kita semua perlu kerja kuat. Kalau ketiga-tiga parti masing-masing tidak mahu bergabung dan bergantung pada parti sendiri sahaja tentu sukar untuk menang, jadi kita perlu bekerjasama.

“Pas sedia berbincang dengan Bersatu dan PKR kerana gabungan ini satu formula pembentukan gabungan pembangkang yang lebih kuat. Sekarang, Pas masih bekerjasama dengan PKR dan dengan Bersatu belum secara rasmi.”
Terdapat makna yang mendalam di dalam kata-kata di atas. Yang mungkin mendebarkan sesetengah pihak. Video ucapan Mustafa Ali boleh ditonton di bawah. Beliau mengemukakan formula untuk menawan kerusi milik UMNO dengan cara bekerjasama dengan BERSATU dan PKR.

Dengan sorak gembira dari para hadirin yang datang, dapat digambarkan bahawa banyak penyokong akar umbi PAS yang tidak suka kepada UMNO. Ini disebut jelas oleh Tengku Razaleigh baru-baru ini apabila dia berkata:

“Saya rasa kita tetap lawan PAS pada pilihan raya akan datang kerana orang bawahan tidak mahu kita bersatu dengan PAS. Dan, orang PAS juga sama, tidak mahu bersatu dengan Umno.”

Ku Li mungkin lebih tahu perasaan para penyokong UMNO dan PAS, lebih-lebih lagi di kawasan Pantai Timur. Tidak logik baginya untuk PAS dan UMNO berbaik-baik di peringkat nasional tetapi di dalam pilihanraya nanti mereka akan menjadi seteru dan berlawan antara satu sama lain. Hanya yang dungu sahaja yang sanggup bergelumang dengan hipokrasi begini.

Jika diteliti ucapan Mustafa Ali di atas, besar kemungkinan PAS dan BERSATU serta PKR akan bergabung membentuk gabungan pembangkang di kawasan pendalaman Melayu.

Ini dikuatkan pula oleh ucapan Tan Sri Muhyiddin pada malam itu yang nampak lebih mengetahui kehendak dan aspirasi rakyat yang sudah jelak dengan kepimpinan korup Najib dan UMNO. Ia juga senada dengan ucapan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat tersebut.

“Saya percaya sudah sampai masanya untuk dijalinkan kerjasama dalam bentuk lebih konkrit. Mana mungkin Bersatu dan parti-parti lain boleh bersendirian (memenangi PRU)…tidak mungkin…tidak boleh, yang boleh ialah gabungan serta gandingan semua parti dalam pakatan.

“Walaupun sedikit atau banyak, apabila dikumpulkan maka jumlahnya memadai untuk cukupkan bilangan (kerusi bertanding), maka cara itulah kita boleh buat supaya kita sama-sama dapat laksanakan.

“Saya tahu cabarannya besar tetapi kita boleh ketepikan berbezaan antara kita dan melihat ke depan. Lebih penting kemuafakatan ini serta formula satu lawan satu mampu membantu memenangi PRU akan datang, gelombang besar yang mahu lihat perubahan.”

Peluang bagi rakyat untuk melihat perlawanan satu lawan satu di dalam pilihanraya akan datang mungkin akan tercapai akhirnya. Ini sahaja cara untuk mendapatkan kemenangan yang besar dan selesa dan menjatuhkan Barisan Najib yang telah melakukan banyak kerosakan dan kecurian ke atas Malaysia.

Walaupun begitu, masih terdapat suara-suara panik dari kapal yang hendak karam. Mengikut kenyataan terbaru dari UMNO melalui Ketua Penerangan mereka, Annuar Musa seperti mahu menongkah arus dengan menjemput PAS untuk bergabung dengan UMNO.

Adakah PAS akan masuk ke dalam Barisan yang sama yang terdiri dari MCA, MIC dan PBB? Adakah Hadi Awang akan berdiri dan berpelukan dengan Liow Tiong Lai atau Adenan Satem di atas satu pentas?

Atau adakah Hadi Awang, Najib Razak dan S. Subramaniam akan bersama-sama menari-nari di tepi jalanraya pada Hari Kemerdekaan tahun depan?

Seperti kata-kata Ku Li, mana mungkin ini akan berlaku.

untitled

Terdapat pelbagai formula pilihanraya yang boleh digunakan untuk mengalahkan UMNO di dalam permainan mereka sendiri. Tetapi itu semua hanya akan dilihat jika benar pilihanraya akan berlaku.

Rakyat sudah tidak sabar untuk mengundi kerajaan baru. Pembangkang usah lalai untuk merebut peluang keemasan ini. Janganlah jadi seperti sesetengah orang yang tidak pernah gagal untuk melepaskan peluang yang ada.

“Some people never missed the opportunity to miss an opportunity.”

– jebatmustdie.wordpress.com

.