TAPI TPM, RIBUAN LAGI DI MALAYSIA JUGA PERLUKAN BANTU

Keprihatinan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap etnik Rohingya yang sedang ditindas di Rakhine, Myanmar amat terpuji, tetapi beliau juga harus menunjukkan sikap sama ke atas ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang lahir di Malaysia, kata seorang ahli parlimen DAP.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, beliau tersentuh dengan aksi spontan Ahmad Zahid semalam, yang mengetuai kempen derma untuk membantu etnik Rohingya dan amat berharap sikap empati sama ditunjukkan kepada kanak-kanak yang tanpa kerakyatan di negara ini.

“Beratus-ratus ribu kanak-kanak tanpa kerakyatan tinggal di Malaysia, tetapi Ahmad Zahid tidak merasa terpaksa melakukan sesuatu untuk mereka.

“Menurut jawapan bertulis parlimen dari beliau, antara 2012 dan Januari 2017, sejumlah 15,394 kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia ditolak kewarganegaraan walaupun bapa mereka adalah warganegara Malaysia,” kata Teo.

Angka ini, katanya, bermakna secara purata, lapan orang dilahirkan tanpa kerakyatan di Malaysia setiap hari.

“Pada bulan November tahun lalu, menteri dalam negara (Ahmad Zahid) mendedahkan bahawa terdapat 290,437 kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia yang berumur di bawah 18 tahun.

“Jumlahnya lebih besar daripada keseluruhan penduduk Perlis,” kata Teo dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia tidak mengalami sebarang kezaliman seperti yang dilalui oleh etnik Rohingya, beliau berkata timbalan perdana menteri seharusnya menyedari bahawa mereka mengalami pelbagai masalah lain.

“Mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan percuma seperti anak-anak Malaysia yang lain, tiada perkhidmatan perubatan percuma di hospital kerajaan, tiada pasport, tiada lesen memandu, dan kekurangan akses mendapatkan pekerjaan.

“Kanak-kanak tanpa kerakyatan bukan orang asing, ada yang dibuang ketika dilahirkan, ada yang menjadi anak angkat tetapi tidak dapat mengesan ibu bapa asal mereka, dan ramai lagi dilahirkan oleh ibu asing yang tidak mendaftarkan perkahwinan dengan pasangan Malaysia mereka.

“Kenapa kita menghukum mereka kerana kesalahan ibu bapa mereka?” soalnya.

Teo berkata DAP sanggup bekerjasama dengan Ahmad Zahid untuk membantu Rohingya, tetapi timbalan perdana menteri mesti terlebih dahulu membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia.

Ahmad Zahid, semalam semasa majlis penutup program Merdeka Rides 2017 di Putrajaya secara spontan menanggalkan topi yang dipakainya dan menggesa hadirin Рkebanyakannya anggota Persatuan Superbikers Malaysia Рmenghulurkan bantuan.

Menegaskan beliau bukan mahu menunjuk-nunjuk, dalam tempoh kurang dari 10 minit hampir RM4,000 berjaya dikumpulkan.

– M’kini

.