TANYA PEMIMPIN LAMA KENAPA TAK BERTINDAK TERHADAP SHAFIE

Persoalan mengapa tiada tindakan diambil terhadap Datuk Seri Shafie Apdal sewaktu beliau masih menjadi menteri kabinet perlu ditanya kepada kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulu, kata Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Kenapa sekarang baru ambil tindakan? Kena tanya pemimpin SPRM sebelum ini kenapa tak ambil tindakan,” kata ketua pesuruhjaya SPRM itu dalam sesi dialog bersama pelajar universiti di Kuala Lumpur, hari ini.

Shafie ditahan pada 17 Oktober lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar berjumlah RM1.5 bilion ketika beliau memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara 2009 hingga 2015.

Beberapa pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Umno negeri itu turut ditahan. Shafie disingkirkan daripada jawatannya pada Julai 2015 dan kini memimpin WARISAN.

Dzulkifli yang dilantik memimpin SPRM pada Ogos lalu berkata, tindakan diambil berdasarkan maklumat dan kenyataan yang diberikan kepada SPRM.

“Isunya bukan bila kita ambil tindakan, tetapi ada atau tidak perlakuan rasuah ketika itu.

“(Sama ada) Kita ambil tindakan tahun lepas, tahun ini atau tahun depan, kita tetap ambil tindakan. Tetapi jika tidak berlaku rasuah, tiada tindakan yang boleh diambil,” katanya.

“Hakikatnya tindakan yang kita ambil ada asas kukuh, maka tunggulah siasatan. Harap dapat bersabar, sebab jumlah (wang yang terlibat) agak besar.”

Dzulkifli juga membangkitkan skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang telah berlaku untuk suatu tempoh masa, sebelum tindakan akhirnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Tiga individu, termasuk bekas pengarah JANS Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya, didakwa memiliki wang haram dengan jumlah RM61.48 juta serta barangan mewah hasil daripada kegiatan haram.

Dalam pada itu, Dzulkifli juga ditanya tindakan SPRM terhadap sejumlah wang yang dirampasnya.

Beliau berkata, wang yang dirampas ketika operasi tidak boleh digunakan kerana ia sebahagian daripada bahan bukti yang akan dibawa ke mahkamah.

“Kita simpan di tempat yang amat selamat, saya tak boleh dedahkan. Tambahan pula (berkaitan) dengan Sabah, takut nanti Sulu atau (militan) Abu Sayyaf datang,” katanya berseloroh.

Selepas perbicaraan tamat, katanya, wang rampasan akan disalurkan kepada kerajaan persekutuan.

“Saya pernah ditanya, bolehkah duit itu disalurkan kepada rakyat Sabah. Saya cakap tiada masalah, kita akan cadangkan kepada kerajaan persekutuan,” katanya lagi.

– M’kini

.