‘Tanya pemilik kenapa caj terlalu tinggi?’

SHAH ALAM – Pemilik pusat rawatan Islam yang didakwa menerima bayaran puluhan ribu ringgit membabitkan rawatan seorang pesakit wanita di sebuah negeri perlu menjelaskan tujuan sebenar kadar tinggi yang dikenakan.

Pengerusi Pusat Rawatan Islam Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu berkata, tidak wajar bagi pemilik pusat rawatan Islam itu mengenakan kadar bayaran bagi rawatan Islam dengan harga yang begitu tinggi sekiranya ia untuk kepentingan peribadi.

“Rujuk semula Surah Taubat: ayat 102 hingga 104. Islam hanya membenarkan sekiranya harta pesakit diambil sedikit atau sebahagiannya dengan tujuan untuk meringankan dosa pesakit menerusi pembayaran zakat atas nama pesakit.

“Kalau yang diambil itu adalah untuk dizakatkan kerana pesakit tidak pernah berzakat, tidak pernah bersolat, tidak pernah membayar fidyah puasa, maka ia diharuskan dengan tujuan untuk meringankan beban dosa. Ini adalah konsep yang diamalkan di Al-Qalam,” katanya kepada dihubungi Sinar Online.

Dalam pada itu, pemilik pusat rawatan tersebut menafikan menerima bayaran puluhan ribu ringgit membabitkan rawatan seorang pesakit wanita yang didakwanya mengidap penyakit urat saraf yang dirawat di pusat berkenaan.

Menurut pemiliknya yang namanya enggan dikenali, gambar yang diviralkan itu bukanlah resit bayaran tetapi adalah sebut harga yang dikeluarkan pihaknya sebelum meneruskan rawatan.

Katanya, berdasarkan sebut harga berkenaan, kos rawatan ibu lelaki berusia 22 tahun itu berjumlah RM32,800 kemudian diviralkan anak lelaki menerusi laman sosial Facebook lalu dikongsi netizen yang turut mengecam tindakannya sebagai pengamal perubatan Islam.

Ujarnya lagi, pihak pusat rawatan sepatutnya perlu mengemukakan bukti sekiranya pemilik pusat rawatan itu menunaikan zakat bagi pihak pesakit.

“Sakit adalah satu rezeki kerana ALLAH menarik dosa-dosa keluar dari tubuhnya. Tidak kira sama ada rawatan hospital dan perubatan Islam, penyembuhnya tetap ALLAH.

“Kalau mereka tidak boleh buktikan apa yang mereka sudah sedekahkan (daripada harta atau bayaran yang diambil daripada pesakit) maka ia tidak wajar,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.