TANGKAPAN DEMI TANGKAPAN RASUAH, BILA PULA GILIRAN ORANG POLITIK MAHU DISIASAT?

Ramai di antara kita yang tiba-tiba marah dan mendidih darah dengan tangkapan rasuah di Sabah baru-baru ini yang bukan saja sekali lagi melibatkan pegawai kerajaan serta wang rakyat, tetapi juga kerana jumlah wang yang dirampas begitu mega jumlahnya.

Wang tunai yang dirampas dilaporkan berjumlah RM52 juta yang disimpan dalam almari di rumah dan juga di pejabat. Untuk mengiranya saja, pegawai SPRM seramai 30 orang mengambil masa selama 15 jam untuk berbuat demikian.

Dalam beberapa akaun bank, jumlah wang tunai yang dirampas pula diberitakan berjumlah lebih RM60 juta. Jumlah wang yang dapat dirampas sehingga ini ialah RM112 juta.

Turut dirampas ialah puluhan kereta mewah, barang kemas, geran tanah, beg tangan berjenama dan lain-lain lagi.

Diberitakan juga ada enam peti simpanan bank yang turut disita, tetapi cuma satu yang sudah diketahui isinya, manakala lima lagi masih menunggu beberapa prosedur dengan pihak bank yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Bermakna, kalau dicampurkan – wang tunai, kereta mewah, barang kemas, geran tanah, beg tangan berjenama dan lima peti simpanan yang belum dibuka, jumlah keseluruhannya mungkin mencecah melebihi RM300 juta.

Jika sebelum ini kita cukup terkejut dan marah dengan dua tiga tangkapan oleh SPRM yang turut menemui beberapa juta wang tunai, kereta mahal dan puluhan kondo mewah melalui aktiviti rasuah, dengan antaranya bergelar Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk, tangkapan di Sabah ini tentu saja lebih memeranjatkan kita.

Kadang-kadang terfikir elok juga kiranya hukuman tembak sampai mati di tempat awam dikuatkuasakan kepada mereka yang durjana serta khianat ini.

Kenapa rasuah nampaknya begitu berleluasa di negara kita?

Kenapa pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan ketua-ketua syarikat GLC seolah-olah tidak gentar untuk melakukan rasuah?

Bagaimana pula dengan rasuah di kalangan orang-orang politik yang mengetuai kementerian, kerajaan negeri atau syarikat-syarikat GLC serta balaci-balacinya sedangkan di situlah berpusatnya segala kuasa melulus dan memberi?

Apakah mereka itu suci bersih dan tidak gelap mata dengan wang ringgit, manakala hanya pegawai-pegawai kerajaan belaka yang tamak dan haloba?

Atau mungkinkah berleluasanya amalan rasuah di kalangan pegawai kerajaan ini kerana mereka akur dengan kata pepatah “bapa borek anak rintik”?

Memang kita menghargai tangkapan demi tangkapan berkaitan rasuah melibatkan pegawai kerajaan yang dilakukan SPRM sejak kebelakangan ini. Tetapi ia sebenarnya tidak menyelesaikan isu pokok berkaitan rasuah, jauh sekali mampu memulihkan imej kerajaan.

Jika kita lihat, beberapa tangkapan itu bukanlah melibatkan pegawai paling tinggi. Masih ada di atas mereka yang ditangkap itu pegawai yang lebih tinggi atau pemimpin politik yang seharusnya mengawasi atau memantau sekiranya berlaku perbuatan curang atau durjana yang berleluasa.

Yang ditangkap di DBKL misalnya hanyalah salah seorang pengarah yang diatasnya masih ada ketua pengarah, datuk bandar dan juga menteri. Apakah mereka tidak sedar amalan rasuah itu?

Begitu juga dalam kes Jabatan Air Sabah ini, apakah menteri peringkat negeri yang bertanggungjawab terhadap jabatan itu atau Ketua Menteri Sabah langsung tidak sedar wujudnya penyelewengan projek dalam nilai berjumlah RM3.3 bilion sejak 2010 lagi?

Maka, apabila tangkapan demi tangkapan, meskipun kita amat menghargainya, apakah ia mampu membersihkan imej kerajaan di kata umum atau menimbulkan banyak tafsiran bahawa ada pegawai kerajaan berani melakukannya kerana mereka juga tahu orang politik yang lebih berkuasa daripada mereka, turut sama melakukannya?

Beranikah pegawai-pegawai kerajaan melakukan rasuah secara berleluasa jika pimpinan politik yang berada di atas mereka sentiasa menunjukkan teladan yang baik dan benar-benar tidak bertolak ansur terhadap amalan itu?

Maka, siapa sebenarnya yang harus malu dengan tangkapan demi tangkapan ini dan bilakah SPRM mahu menyiasat pemimpin-pemimpin politik yang rata-ratanya juga kaya-raya, memilik banyak harta serta mungkin ada di antaranya turut memiliki simpanan tunai di rumah atau di pejabat?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.