‘TANAH SEKOLAH CONVENT KEKAL DALAM KEADAAN BAIK’

Tanah milik Sekretariat Sisters of Infant Jesus, pemilik tanah tiga sekolah mubaligh Convent yang didakwa bakal ditutup, tidak akan dijual kepada pemaju swasta, kata sumber yang dipercayai kepada Malaysiakini.

Sumber itu, berkata plot tanah itu masih dimiliki pemiliknya sekarang yang mempunyai rancangan untuk terus membangunkan sekolah-sekolah berkenaan.

“Difahamkan sekolah-sekolah itu akan diubah menjadi sekolah swasta antarabangsa di bawah pengurusan pemilik berkenaan”.

“Dengan menukar sekolah-sekolah itu ke sekolah-sekolah antarabangsa, pemiliknya akan mempunyai lebih banyak kawalan terhadap pengurusannya,” tambah sumber itu.

Sumber itu juga memberi jaminan bahawa tanah itu “kekal dalam keadaan baik”.

Terdahulu, dilaporkan sekolah Convent Light Street dan dua sekolah lain, termasuk Convent Pulau Tikus berdepan penutupan. Khabar angin juga tersebar bahawa tanah berkenaan mungkin dijual kepada pemaju swasta.

ADUN Pulau Tikus DAP Yap Soo Huey, yang mengetengahkan isu itu di laman Facebooknya semalam, turut melahirkan kebimbangan mengenai perkara itu dan mendesak mereka yang terlibat tidak menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata sekiranya tanah itu dijual kepada pemaju, kerajaan negeri tidak akan memberikan sebarang kelulusan untuk rancangan mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman dipetik dalam sebagai berkata tiada pengesahan bahawa sekolah-sekolah itu akan ditutup namun pemiliknya telah memaklumkan kepada jabatan itu mengenai niat mereka untuk mengambil balik tanah itu.

Shaari berkata jabatannya telah mengeluarkan surat pada 1 November mengarahkan sekolah-sekolah berkenaan menghentikan pengambilan pelajar baru.

Convent Light Street ditubuhkan pada tahun 1852 dan merupakan sekolah biara tertua di Asia Tenggara, sementara Convent Pulau Tikus ditubuhkan pada awal tahun 1900-an.

Malaysiakini telah menghubungi pemilik sekolah dan diberitahu mereka akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

– M’kini

.