Tanah Runtuh Di Kulai, Tiada Kematian

JOHOR BAHRU – Penghuni di Jalan Berlian 2, Bandar Putra dekat Kulai, dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira satu meter dari rumah penduduk, pagi Sabtu.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Bandar Putra Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nasib Mohd Sam berkata runtuhan berukuran kira-kira 30 meter panjang dengan ketinggian 10 meter itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

“Bomba menerima panggilan daripada orang awam di perumahan itu pada pukul 7.41 pagi tadi dan seramai 11 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan pemantauan,” katanya yang dihubungi di sini.

Mohd Nasib berkata kejadian tanah runtuh itu berkemungkinan berlaku ekoran hujan pada kira-kira pukul 3 pagi Sabtu.
Beliau berkata beberapa penduduk turut mendakwa terdapat kesan rekahan berlaku di jalan tersebut beberapa hari sebelum ini.

“Pasukan bomba hanya memantau keadaan jalan tersebut sehingga 11 pagi tadi.

Kami kemudian menyerahkannya kepada pemaju perumahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Hasni berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulai juga sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada Majlis Perbandaran Kulai untuk tindakan sewajarnya.

Khidmat nasihat daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) akan diambil untuk tujuan siasatan selain membuat cadangan bagi kaedah pembaikan runtuhan tersebut, katanya. – BERNAMA

.