TANAH DIJANJI TAK DIBERI, PENGANUT BUDDHA SAMAN MCA SELANGOR

AKIBAT janji tak dikotakan, akhirnya Persatuan Penganut Buddha telah memfailkan saman terhadap MCA Selangor berhubung tanah isu tanah di SS25, Petaling Jaya sehingga hari ini tergantung tak bertali.

The Cempaka Buddhist Lodge (Cempaka) memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 November lalu dengan menamakan presiden parti Cina itu, Liow Tiong Lai sebagai defendan pertama.

Menurut Presiden Cempaka Buddhist Lodge SK Tan, pada 2012, tanah seluas satu ekar itu dijanji untuk dijual kepada persatuan itu dengan nilai RM2.57 juta.

“Kami menanti janji mereka (MCA) untuk buat apa yang perlu mereka persetujui pada tahun 2012,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

“Ada persetujuan untuk membina bangunan komuniti bagi kami menjalankan aktiviti kami,” katanya, menambah lokasi sekarang terletak di Taman Sea di SS23/25, Petaling Jaya.

“Dan tiada apa yang berlaku. Mereka beritahu dapatkan unit pejabat sebagai ganti sebab katanya mereka tak boleh jual tanah itu secara terus. Kami dah beli unit di Shah Alam bagi mulakan proses,” kata Tan sambil menambah bahawa urus niaga itu telah digantung sementara menunggu keputusan dari MCA.

Tambah Tan, persatuan itu akan menuntut pampasan jika MCA tidak patuh pada janji.

“Kami tak main perasaan. Kami bertindak atas fakta. Kami dah cuba dapatkan ahli jawatankuasa MCA Selangor. Tapi kami tak dapat jumpa mereka. Jadi kami tiada pilihan selain ambil tindakan ini,” katanya.

Awal hari ini, dalam sidang media berlainan, DAP mengkritik MCA kerana menjual tanah itu untuk keuntungan selain berkata bahawa tanah itu patut dipulangkan kembali kepada kerajaan negeri dengan harga kos atau nilai pasaran.

Menurut DAP, MCA Selangor telah membeli satu ekar bidang tanah pada 2007 dengan harga RM1 kaki persegi sedangkan harganya RM400 kaki persegi. Pada 2008, tanah itu dibeli dengan harga RM52,000.

Paling kerap diserang oleh DAP ialah naib presiden MCA Chew Mei Fun yang pernah memegang jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari 1999 hingga 2008.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara terkini dari DAP, Tony Pua dalam sidang media di Taman Cempaka hari ini berkata, sebelum pembelian berlaku, tanah itu dikelaskan sebagai kawasan pengekalan air bagi mengelakkan banjir.

“Kami dapati MCA telah memohon supaya tanah itu ditukar menjadi kawasan komersial,” kata Pua sebelum menambah bahawa harga tanah itu boleh menjangkau setingg RM17 juta jika diluluskan.

Tambahnya lagi, DAP baru dapat tahu mengenai persatuan penganut Buddha itu yang mahu menyaman MCA mengenai “janji yang tak ditunaikan” itu.

“Mereka berharap MCA akan luluskan dan selesaikan transaksi atau mereka akan saman.

“Kami tak berminat dengan perbalahan ini. Ini perbalahan mereka. Apa yang kami mahu terangkan ialah bahawa MCA telah menjual tanah itu atau berniat untuk menjual tanah itu.

“Mereka dapat tanah itu pada 2008 dan mereka berniat untuk jual tanah itu dengan harga RM2.57 juta pada 2012. Jadi, ini membuktikan semua cakap-cakap mengenai khidmat awam semua ni sampah belaka. Semua ni bohong,” tambahnya.

Sementara itu, Chew dalam responnya berkata beliau memegang teguh dengan kenyataannya pada September lalu bahawa beliau tidak terlibat dengan urusan jual beli tanah.

Justeru beliau menuduh Pua cuba menarik beliau dalam isu ini.

“Tony Pua ni sama ada dia penipu atau dia keras kepala dan tak sesuai untuk jadi ahli parlimen,” kata Naib Presiden MCA itu kepada The Malaysian Insight hari ini.

“Seperti semua wakil rakyat tahu, ahli parlimen tidak boleh terlibat dalam sebarang urusan tanah mahupun dan tiada hak untuk luluskan sebarang permohonan tanah,” katanya.

Pada September, Chew berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengisukan surat tuntutan terhadap Yeo yang berucap dalam video online mengenai pembelian tanah di bawah harga pasaran oleh MCA Selangor.

Chew turut berkata beliau telah mengarahkan peguamnya “menutup mulut” Pua daripada mengulangi tuduhan itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.