TAKUT? HADI TAK PERLU LAYAN DEBAT DENGAN ASRI

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak perlu melayan undangan debat yang disuarakan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkenaan cadangan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohamad Fadzli Hassan, beliau yakin bahawa Abdul Hadi sendiri tidak akan berminat dengan tindakan itu.

“Saya yakin Hadi pun tidak setuju dengan kaedah itu. Saya rasa tak perlu untuk berdebat dan kalau betul pun Asri nak ajakĀ  berdebat, saya nasihatkan kepada Hadi, jangan disambut cabaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi salah seorang panel dalam Bicara Harakah bertajuk Pasca Himpunan 355: Syariah Diperkasa, Rakyat Sejahtera, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fadzli berkata, kaedah debat tersebut tidak mendatang apa-apa faedah, sebaliknya membuatkan lebih ramai lagi masyarakat keliru dengan cadangan pindaan hukuman jenayah syariah ini.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan 3 turut menasihati Asri selepas mufti itu dilihat kritikal terhadap usul persendirian yang dibawa partinya.

“Sebagai mufti yang kerjanya untuk agama, mempertahankan agama, inilah masanya. Bukannya untuk menjatuhkan satu sama lain dan menunjukkan pandangan kita yang betul dan orang lain tak betul,” katanya

Terdahulu, Asri menyatakan kesediaanya untuk berdebat berkenaan pindaan RUU 355 dengan Abdul Hadi sahaja sekiranya pimpinan utama Pas itu bersetuju untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Mohamad Fadzli yang juga Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan berkata, kerajaan negeri itu sedang mengkaji keperluan mengadakan demonstrasi pelaksanaan hukuman rotan bagi kesalahan jenayah syariah.

“Kita sedang kaji bagaimana hukuman sebatan dalam Islam supaya memberi kesefaham dan persepsi yang betul dalam Islam.

“Bahawa inilah hukuman dalam Islam, bukan menyakitkan malah untuk mendidik,” katanya.

Beliau menambah, terdapat salah faham mengatakan hukuman dalam Islam ini zalim.

“Jadi apa yang kita lakukan ini bagi menggelakkan silap faham masyarakat ,” katanya.

– SH

.