TAKUT BALASAN DARI TRUMP? SELEPAS ‘CHINA PIVOT’, NAJIB KATA AMERIKA RAKAN EKONOMI PENTING NEGARA

PUTRAJAYA – “Malaysia akan sentiasa menganggap Amerika Syarikat sebagai rakan terutamanya dalam perkongsian ekonomi dan memerangi ekstremisme serta keganasan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte di Putra Perdana di sini hari ini, beliau berkata, lawatan terkini beliau ke China baru-baru ini tidak bermakna hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat kurang penting.

“Perkongsian ekonomi kita (Malaysia) dengan Amerika Syarikat akan diteruskan,” katanya ketika ditanya sama ada fokus ekonomi Malaysia kini beralih kepada China berbanding Amerika Syarikat.

Najib berkata, China sememangnya merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan masanya adalah tepat bagi negara untuk meninjau beberapa peluang ekonomi.

Hartawan internet Jack Ma dilantik sebagai penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia semasa lawatan terkini Najib ke China.

Lawatan rasmi ketiga Najib ke China minggu lepas melakar pencapaian bersejarah dengan pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.

– Bernama

.