TAKIYUDDIN TARIK DIRI BERTANDING NAIB PRESIDEN, AJK KERJA

SHAH ALAM – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden menjelang pemilihan parti itu, hujung bulan ini.

Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat kerana yakin dengan keserasian kepimpinan sedia ada.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih serta penghargaan di atas pencalonan saya oleh Pas kawasan-kawasan di seluruh negara bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk sesi 2017/2019.

“Memandangkan saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan tertinggi Pas Pusat sedia ada serta melihat keserasian dalam kepimpinan kini melibatkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden, maka saya membuat keputusan menarik diri dari bertanding untuk jawatan Naib Presiden Pas.
“Saya yakin komposisi sedia ada ini akan mampu membawa Pas menuju masa depan yang lebih cemerlang, khusus untuk menghadapi PRU14 nanti,” katanya.

Ketiga-tiga penyandang Naib Presiden Pas iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abd Samad turut dicalonkan semula bagi jawatan itu.

Selain mereka, turut dicalonkan ialah Takiyuddin dan Ketua Penerangan Pas ketika ini, Nasruddin Hassan.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut mengisytiharkan menarik diri daripada bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

“Ia bagi memberi peluang kepada calon-calon lain menawarkan diri untuk memberi khidmat terbaik mereka kepada parti.

“Saya bersedia menerima sebarang jawatan lantikan yang difikirkan sesuai oleh Presiden parti dan Insya-ALLAH akan memberikan sumbangan terbaik sekiranya diberikan amanah tersebut nanti,” katanya.

Ketika ditanya Sinar Harian mengenai keputusannya walaupun ramai meramalkan beliau akan menang, Takiyuddin berkata, kemenangan Pas dalam PRU14 adalah lebih penting.

Dewan-Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat akan mengadakan muktamar di peringkat masing-masing mulai 27 April di Alor Setar, Kedah.

Sementara, Muktamar Pas Pusat ke-63 berlangsung pada 29hb April hingga 1 Mei di mana perwakilan akan memilih barisan kepimpinan baru untuk menghadapi PRU14.

Semua calon yang tersenarai dikehendaki menyatakan penerimaan pencalonan sebelum esok.

– SH