TAK TEPAT CAKAP BUKAN MELAYU TAK LAWAN KOMUNIS, KATA ZAHID

PANDANGAN seorang ulama kononnya hanya orang Melayu melawan komunis adalah tidak tepat berdasarkan fakta sejarah, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, rujukan sejarah Malaysia seperti yang ditulis ahli akademik seperti Prof Emeritus Khoo Kay Kim menyatakan kaum-kaum lain pun turut sama berjuang menentang komunis.

“Sejarah telah mencatatkan sumbangan-sumbangan pelbagai kaum dalam menentang Jepun dan komunis.

“Dalam hal ini, untuk hanya satu bangsa saja berjuang ke arah itu, saya fikir tak tepat,” kata beliau selepas menyampaikan ucaptama pada program diskusi intelektual di Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Zahid mengulas pandangan Ismail Mina Ahmad pada Konvensyen Kebangkitan Ummah hujung minggu lalu bahawa hanya orang Melayu berjuang menentang komunis, British dan Jepun, dan kerana itu orang bukan Melayu adalah ancaman kepada pemerintahan politik orang Melayu Islam.

Ismail Mina, yang juga pengerusi Gerakan Pembela Ummah, berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada konvensyen berkenaan.

Kenyataannya itu bagaimanapun diselar oleh pelbagai pihak termasuk bekas anggota tentera yang bergabung di bawah Persatuan Patriot Kebangsaan.

Dalam konvensyen tersebut, Ismail berkata orang Melayu sahaja yang berkorban nyawa mereka untuk Malaya dan mempertahankan apa yang dikatakan beliau sebagai fakta sejarah.

“Ini bukan rasis tapi nak cerita sejarah. Yang menentang Siam adalah Melayu.

“Yang menentang penjajah Jepun, Inggeris ialah Melayu. Orang Melayu jugalah yang menentang penjajahan bintang tiga (komunis).

“Pada penjajahan bintang tigalah orang Melayu dibunuh,” katanya seperti dilaporkan.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, dakwaan Ismail mengenai sejarah negara adalah salah dan menyeru kerajaan mengeluarkan kenyataan bagi memperbetulkan pandangan tersebut.

Bagaimanapun Zahid mahu semua pihak berhenti daripada mempolemikkan isu terbabit dan menerima hakikat betapa Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum sejak sebelum merdeka yang bersama membina negara dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Masyarakat negara kita adalah masyrakat majmuk. Apabila kita menerima musuh daripada luar yang cuba merosakkan negara kita kesatupaduan bangsa Malaysia, bangsa kesatuan Tanah Melayu atau Malaya ketika itu adalah di dalam satu acuan yang cukup dan dalam hal ini tidak perlu kita menimbulkan polemik kerana semua pihak telah berikan sumbangan yang terbaik untuk negara,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.