TAK PERLU UBAH SUAI BAJET 2017, KATA MENTERI KEWANGAN

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan merasakan tidak ada keperluan untuk mengubah suai Bajet 2017.

Ini kerana, jelas beliau, ekonomi Malaysia membuat pelarasan sewajarnya sejajar dengan latar belakang semasa dan memerlukan masa untuk mengatasi rintangan termasuk prestasi ringgit yang lemah.

“Bajet tidak akan diubahsuai, mengapa perlu diubahsuai? Ekonomi akan diselaraskan dengan sewajarnya mengikut prestasi ringgit yang lemah. Pada dasarnya, saya fikir ekonomi kita OK.

“Cuma kita memerlukan untuk pelarasan tersebut. Pasaran akan kembali pulih dan ringgit akan mengukuh lagi,” katanya semasa Forum Dana Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti 2017, memetik laporan The Edge Markets.

Semalam, Bank Dunia menjangka ekonomi negara tumbuh 4.3 peratus pada 2017 dan terus berkembang 4.5 peratus tahun depan apabila penyesuaian harga tenaga rendah berjalan lancar dan harga komoditi menjadi stabil.

Terdahulu, bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kenyataan nKetua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah mengenai ekonomi negara kukuh sebagai suatu pendustaan berbanding keadaan sebenar yang mendepani berjuta rakyat Malaysia.

Anwar berkata, rakyat negara ini menerima kesan akibat kejatuhan ringgit dan kenaikan harga makanan dan komoditi ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Di sebalik semua ini, pegawai atasan kerajaan mengatakan semuanya adalah teratur dan diuruskan dengan baik,” ujar Anwar dalam kenyataan.

Terdahulu, Baru-baru ini, Mohd Irwan Serigar berkata, ekonomi negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah kukuh.

Menurut beliau, pada sidang akhbar di Putrajaya, setiap kali beliau ke restoran dan pasar raya, rakyat sibuk membeli-belah dan melancong.

Pada jam 1:09 petang tadi, ringgit diniagakan pada kadar RM4.4625 bagi setiap dolar AS.

Sementara itu, FX Asia Standard Chartered Global Research berkata, ringgit dijangka bergerak antara 4.50 dan 4.60 berbanding dolar AS pada separuh pertama tahun ini.

Mengulas lanjut, Johari menegaskan bahawa Malaysia adalah ekonomi terbuka dan tidak akan melaksanakan kawalan modal.

“Kita tidak akan melakukan apa-apa tambatan dan tidak akan mengawal aliran modal. Kita akan benarkan mana-mana pelabur yang mahu membawa pulang dana dari Malaysia untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

– M’kini

.