TAK PERLU BUAT SEKUEL ‘KABALI’ DI M’SIA, KATA DAP

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa kerajaan agar menimbang semula secara serius jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada lagenda filem Tamil, Rajinikanth dari India untuk membuat pengambaran filem sekuel ‘Kabali’ di Malaysia.

Najib dilaporkan membuat jemputan itu kepada Rajinikanth semasa lawatan beliau ke India, kira-kira sebulan yang lalu.

ADUN Seri Delima, RSN Rayer berkata, filem tersebut yang mendapat sambutan hangat di negara ini pada tahun lepas memberi lebih banyak kesan buruk daripada baik.

“Kerajaan sepatutnya menggalakkan industri filem India tempatan dengan menyokong pengarah dan artis India tempatan.

“Menyokong penerbitan filem India tempatan yang menggalakkan ciri positif dan nilai rakyat Malaysia seperti perpaduan, kepelbagaian budaya, hormat orang tua dan sebagainya,” kata Rayer dalam kenyataan.
Beliau merujuk kepada apa yang beliau sifatkan sebagai budaya ‘Kabali yang didakwanya berleluasa di sekolah, terutama di kalangan pelajar India.

Jelasnya, aktiviti menyertai kumpulan-kumpulan seperti 04, 24, 08 dan 36 kini menjadi suatu budaya di sekolah.

– M’kini