TAK MEMADAI HANYA JAMIL KHIR YANG HADIR, KENAPA TIDAK NAJIB ATAU ZAHID HAMIDI?

UMNO dan kerajaan dilapor akan menghantar Jamil Khir Baharom sebagai wakilnya untuk menghadiri Perhimpunan Akta 355 di Padang Merbok, Sabtu 18 Februari ini.
Ketua Penerangan Pas, Nasaruddin Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, Jamil Khir akan menyertai sessi solat hajat dalam perhimpunan tersebut.
Kehadiran itu membuktikan kerajaan menyokong perhimpunan pada 18 Februari nanti, kata beliau lagi.
Kenapa UMNO dan kerajaan hanya menghantar Jamil Khir saja sebagai wakil mereka?
Mengapa tidak Perdana Menteri, Najib Razak atau Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sendiri hadir bagi pihak UMNO dan kerajaan sebagai tanda sokongan?
Bukankah pindaan Akta 355 itu merupakan isu besar bagi Pas, tidak saja untuk memartabatkan hukum Islam serta menjadi titik tolak persabahatannya dengan UMNO, malah juga sehingga kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan cuti umum pada 19 Februari bagi memastikan seramai mungkin rakyat negeri itu dapat menghadirinya?
Oleh itu, sewajarnya Najib sendiri atau setidak-tidaknya Zahid Hamidi yang hadiri bagi mewakili UMNO dan kerajaan?
Lagi pula, dalam perhimpunan Solidariti Rohingya di Stadium Titiwangsa dan pelancaran kapal membawa pelbagai bantuan kepada pelariannya di Pelabuhan Kelang baru-baru ini yang dianjurkan UMNO, Pas dengan besar hati telah menghantar Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai wakilnya.
Kenapa pula bila Pas menganjurkan programnya, UMNO hanya menghantar Jamil Khir saja?
Tentu lebih membanggakan buat Hadi jika Najib sendiri yang hadir dan Perdana Menteri menunjukkan kesediaan berada di atas pentas Pas serta tidaklah parti Islam itu terasa suatu penghinaan dan diberi  “sokongan main-main” daripada UMNO dan kerajaan dengan hanya menghantar Jamil Khir sahaja.
Dalam perhimpunan sebesar khabarnya 200 ribu akan menghadirinya, hanya Najib atau paling kurang Zahid Hamidi yang sesuai hadir bagi mewakili UMNO. Kalau setakat untuk minum-minum teh tarik di London, bolehlah diserahkan kepada Jamil Khir mewakilinya.
Dalam hal ini, adakah Najib atau Zahid Hamidi takut dengan bantahan MCA, MIC, Gerakan serta parti-parti di Sarawak terhadap Akta 355 sehingga mengelak untuk menghadiri perhimpunan itu?

Oppssss….Ahli UMNO pula bagaimana, berapa ratus ribu yang akan dikerahkan menghadirinya?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.