TAK KESIANKAH NAJIB KEPADA PAS, SUDAHLAH DIUNGKIT-UNGKIT BANTUAN, KELANTAN PULA MAHU DIRAMPASNYA?

Semalam, Perdana Menteri Najib Razak melakukan lawatan sehari ke Kelantan. Seperti biasa, dalam lawatannya ke mana-mana negeri menjelang PRU 14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa, banyaklah janji projek dan curahan wang dilakukan yang tentunya diharap akan dibalas dengan sokongan dan juga undi.

Kelantan turut tidak terkecuali, meskipun negeri itu ditadbir oleh Pas yang merupakan “rakan mesra”  kepada UMNO. Selain mengumumkan beberapa projek, Najib juga mengungkit kemurahan hatinya kepada Kelantan yang menurutnya, beliau adalah jauh lebih baik berbanding Tun Mahathir Mohamad dahulu.

Kata Najib, sepanjang 22 tahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, dana yang disalurkannya kepada Kelantan hanyalah berjumlah RM12.7 bilion sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, sejak 2006 hingga tahun ini, dana yang disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada Kelantan adalah berjumlah RM14.69 bilion.

“Negeri defisit macam Kelantan ini, kalau tiada sumbangan daripada kerajaan Pusat, mereka nak bayar gaji pun tak mampu.

“Kita ada masa lagi untuk tambah peruntukan kepada Kelantan. Nak undi atau tak undi, itu hak mereka tapi kali ini undi kitalah.

“Kita bagi suntikan macam-macam, tuan-tuan dan puan-puan apa salahnya bendera kita (BN) kasi naiklah sikit.

“Ini susah-susah baru minta tolong kita, bendera dah naik pun kita nak kena turunkan, inilah kita baik hati,” demikian antara kata-kata  Najib sambil tertawa kecil.

Dalam erti kata lain, selain bersikap pemurah memberi peruntukan wang kepada Kelantan yang kekurangan dana untuk mentadbir negeri dan melaksanakan projek-projek pembangunan, nawaitu sebenar Najib ialah mahu negeri itu dikembalikan semula kepada UMNO untuk memerintahnya.

Sebab itulah beliau suka mengungkit-untkit apa yang diberikannya kerana harapannya apa yang disumbangkannya  itu sentiasa diingati oleh pengundi Kelantan.

Kenapa Najib masih bersungguh mahu menawan kembali Kelantan sedangkan Pas adalah “rakan mesra” kepada UMNO sehingga parti itu berkeras untuk menjadikan pertandingan tiga penjuru di peringkat Pusat semata-mata mahu memberi kelebihan kepada BN memenangi pilihanraya akan datang?

Di mana budi bahasa Najib kepada musuh yang sedia menukar identiti menjadi rakan di peringkat Pusat, tetapi UMNO dan BN tetap mahu menggulingkan Pas daripada memerintah Kelantan?

Apa salahnya, oleh kerana Pas sudah memberi kelebihan kepada UMNO dan BN melalui pertandingan tiga penjuru di peringkat Pusat, parti itu membalas kebaikan parti Islam itu, bukan saja dengan memberi peruntukan kewangan, malah dengan tidak meletakkan calon-calonnya bertanding di Kelantan?

Tidak dinafikan, meskipun belum pasti, kesediaan Pas berpisah dengan dengan parti-parti pembangkang yang lain untuk bertanding sendirian tidak lain ialah untuk memberi kelebihan kepada Najib, UMNO dan BN memenangi pilihanraya, seterusnya mengekalkan kuasanya di Putrajaya.

Lebih jelas lagi, dalam sekian banyak kenyataan para pemimpin Pas, sasaran serangan mereka lebih ditujukan kepada Pakatan Harapan berbanding UMNO dan BN.

Najib yang terlibat skandal kewangan terbesar di dunia, menukar demokrasi Malaysia kepada kleptokrasi dan dalam akaun banknya terbukti ada beribu-ribu juta ringgit yang menurut DOJ bersumberkan dana 1MDB yang diselewengkan, tetapi di mata Pas beliau tetap kelihatan suci dan bersih.

Yang lebih ditakuti oleh Pas tetaplah Tun Mahathir, Pakatan Harapan dan DAP, sedangkan yang terang-terang menolak hudud dan pindaan Akta 355 ialah MCA, MIC dan juga Gerakan. Tun Mahathir juga tidak pernah terbukti ada berbilion wang dalam akaun peribadinya.

Dalam masa yang sama, meskipun melalui Gagasan Sejahtera, Pas tidak terlihat ingin menang pilihanraya kali ini. Sasaran utama Pas lebih untuk memastikan Pakatan Harapan tidak dapat berkuasa saja.

Dilihat daripada pelbagai sudut, kecuali ada ganjaran lain yang kita tidak ketahui, bukan kecil sebenarnya pengorbanan Pas kepada Najib, UMNO dan BN.

Namun demikian, berikutan kesedaran rakyat yang semakin meluas terhadap perlunya perubahan dalam negara, belum tentu semudah itu untuk Najib, UMNO dan BN mengekalkan kuasanya, walaupun setelah adanya bantuan pertandingan tiga penjuru daripada Pas.

Jika rakyat benar-benar inginkan kepada perubahan dan pengaruh Tun Mahathir berjaya mewujudkan tsunami rakyat melalui kembalinya semula beliau menjadi Perdana Menteri, tidak mustahil UMNO dan Pas akan sama-sama ditolak ke tepi oleh pengundi kali ini.

Tetapi berbeza bagi Kelantan. Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, ia tidak dinafikan akan memberi kelebihan kepada UMNO menawan semula negeri itu.

Tanpa kehadiran pengundi bukan Melayu dan dengan pengundi Melayu berpecah kepada tiga – UMNO/BN, Pakatan Harapan dan Pas – selain dikukuhkan dengan pengaruh wang, media dan jentera kerajaan Pusat,  kelebihan adalah memihak kepada UMNO/BN untuk menawan kembali Kelantan.

Pas lebih mungkin kecundang dan hilang kuasanya di Kelantan kali ini. Bermakna, selain sudah tentu akan kalah di peringkat Pusat, Pas juga kemungkinan besar akan turut kehilangan kuasa di Kelantan melalui pertembungan tiga penjuru.

Dalam keadaan ini, demi untuk mewujudkan suasana menang-menang, tidak bolehkah Najib, UMNO dan BN memberi laluan kepada Pas saja berhadapan dengan Pakatan Harapan di Kelantan?

Biarkan Pas saja berhadapan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan, manakala UMNO dan BN hanya memberi sokongan dari segi kempen, kewangan, jentera dan pelbagai kemudahan lainnya kepada parti itu.

Dengan bantuan UMNO dan kerajaan Pusat serta pertandingan satu lawan satu berhadapan Pakatan Harapan, Pas tentu lebih selesa untuk mengekalkan kuasanya di Kelantan.

Dengan kata lain, apabila Pas dan UMNO bekerjasama untuk berlawan dengan Pakatan Harapan, ia ibarat perlawanan gusti dua lawan satu layaknya. Lebih mudah untuk Pas  menang lagi di Kelantan.

Setidak-tidaknya, kalaulah UMNO dan BN kecundang di peringkat Pusat kepada Pakatan Harapan, Pas masih ada lagi tapak kuasanya di Kelantan.

Tetapi, dengan kalau di Pusat kalah dan di Kelantan juga tewas, apa lagi yang tinggal buat Pas?

Tak kesiankah Najib kepada Pas?

Atau Najib sebenarnya memang dalam hatinya mahu “membunuh” terus Pas daripada sebarang sisa-sisa kuasa?

– shahbudindotcom.blogspot.my

.