TAK ELOK TUDUH PAS, KATA IDRIS PADA KHALID

Naib presiden PAS menegur Khalid Samad, kerana menyalahkan parti itu atas sebaran gambar kononnya ahli parlimen Shah Alam “menyembah ayam”.

Menurut Idris Ahmad, tuduhan berkenaan juga tidak wajar dikaitan dengan PAS.

“Siapa kata PAS yang buat tu? Ini tuduhan yang tak elok,” kata Idris yang juga naib presiden PAS itu kepada Malaysiakini.

Semalam Khalid membidas pihak yang mendakwa beliau dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli – yang turut berada dalam video itu – melakukan ritual menyembah ayam melalui klip video sambutan tahun baru Cina oleh anggota parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Dalam kenyataannya, Khalid berkata, tidak ada sebarang upacara keagamaan terlibat dalam penggambaran klip video itu.

Ungkapan Gong Xi Fa Chai yang disebut pula bukanlah penyembahan, sebaliknya ucapan yang menjurus kepada mendapatkan lebih banyak kekayaan.

“Perlu faham bahawa mengikut bahasa Cina, perkataan na (itu) ji(Ayam) yang kebetulan bunyinya sama macam Najib. Video tersebut adalah berkaitan kisah ayam (na ji) itu yang jahat dan selalu merugikan tuannya.

“Tuannya serah ayam itu kepada YB Teresa kerana sudah tidak mampu lagi membela ayam itu. Tiba-tiba semasa menerima ayam itu, ia terlepas lari, mereka semua mengejarnya dan berjaya ditangkapnya semula.

“YBKS (YB Khalid Samad) telah memasukkan ayam itu (na ji) dalam sangkar (penjara) dan ucap selamat tahun baru Cina.

“Foto terakhir itu menunjukkan mereka semua mengucapkan selamat tahun baru Cina pada na ji yang sudah berada dlm sangkar (penjara),” kata beliau dalam kenyataan.
Dalam catatan tersebut turut menyertakan paparan video satira Tahun Baru Cina 2017 oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menunjukkan Khalid dan Rafizi beraksi ‘gong xi’ kepada ayam dalam sangkar.

Khalid yang juga pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata PAS sudah bertukar menjadi parti fitnah dan memaki hamun.

Bagaimanapun Idris enggan mengulas lebih lanjut mengenai kecaman ditujukan kepada Khalid itu kerana beliau belum melihat sendiri video berkenaan.

– M’kini

.