TAK BERHAJAT TANDING PRU, MAHATHIR CABAR DEBAT

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata demikian susulan cabaran terhadap Datuk Seri Nazri Aziz agar bertanding di Langkawi, selepas menteri pelancongan dan kebudayaan itu mencabarnya bertanding di Padang Rengas.

“Nazri mencabar saya supaya bertanding di kawasan Padang Rengas yang ia menjadi wakil rakyat. Syabas saya ucapkan. Cabaran ini menunjuk betapa beraninya Nazri.

“Sebabnya ialah kerana Nazri tahu saya tidak berhajat untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Oleh itu cabarannya ialah cabaran kosong,” kata Mahathir dalam catatan di blognya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya Nazri terus mahu mencabarnya, bekas presiden Umno itu mencadangkan agar diadakan debat berkenaan pelbagai isu termasuk 1MDB dan BMF.

“Tetapi jika Nazri hendak sangat mencabar saya, bolehlah kita ada perbahasan terbuka berkenaan 1MDB, RM2.6 billion dalam akaun tuannya, pinjaman RM55 billion untuk (projek) keretapi pantai timur atau apa juga tajuk, termasuk BMF.

“Ini boleh diadakan tanpa syarat,” kata Mahathir.

Terdahulu, Nazri membuat cabaran itu selepas dimaklumkan Mahathir akan turun ke Padang Rengas bagi menyertai siri jelajah BERSATU hujung bulan ini.

Katanya sekiranya Mahathir enggan bertanding, cabaran tersebut dibuka kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Susulan itu Facebook Mukhriz Mahathir FC memetik kenyataan Mahathir mengajak menteri Umno itu  bertanding di Langkawi.

“Mengapa dia mahu saya pergi ke tempatnya? Datanglah ke tempat saya.

“Awak menteri seluruh negara, bukan untuk Padang Rengas saja,” Mahathir dipetik sebagai berkata.

– M’kini

.