TAIB: ADENAN PIMPIN SARAWAK DENGAN BAIK

Allahyarham Tan Sri Adenan Satem telah meninggalkan jasanya dengan memimpin kerajaan negeri dengan baik, kata Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

“Adenan telah berkhidmat di negeri ini dengan baik, berkhidmat dengan perasaan ikhlas.

“Dia telah meninggalkan sebuah kerajaan yang baik seperti selalunya, lebih daripada apa yang saya wariskan sebelum ini,” kata Taib kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan hari ini.

Taib dan isterinya Ragad Kurdi Taib tiba di hospital dengan berpakaian putih bagi memberi penghormatan terakhir kepada Adenan, yang meninggal dunia petang tadi.

Adenan adalah pengganti Taib ketika beliau meletakkan jawatan sebagai ketua menteri pada 2014 selepas 33 tahun berkuasa.

Sementara itu, Taib terkenang bagaimana beliau telah membawa Allahyarham dalam politik pada awal tahun 1980-an.

“Saya membawanya dalam politik sejak tahun 1982 atau 1983, kerana saya tahu dia mempunyai keupayaan yang kukuh untuk berfikir dan menganalisis banyak situasi,” katanya.

Adenan membawa BN kemenangan besar dalam pilihan raya negeri tahun lepas.

Beliau juga telah mengadakan rundingan dengan Putrajaya bagi menurunkan 13 kuasa pentadbiran kepada kerajaan Negeri.

Beliau juga terkenal dengan dasar yang kadang-kadang bertentangan dengan kerajaan persekutuan seperti mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

– M’kini

.