TAHNIAH BUAT ZAHID HAMIDI, TAPI

Di ketika Najib Razak masih berdiam diri dan mengunci mulut daripada memberikan reaksinya berhubung kekecohan dalam program Nothing To Hide 2.0, kemunculan pantas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang mengecam sambil mengatakan keganasan tidak sepatutnya disasarkan kepada mana-mana individu, ia tidak ubah ibarat “suntikan ubat penenang”  paling mujarab buat kita semua.
Seolah-olah, di sebalik ketakutan Najib  untuk duduk sepentas dengan Tun Mahathir dan kemudian kelu lidahnya untuk memberi sebarang komen selepas tercetus kekecohan, Zahid Hamidilah tempat kita bergantung harap.
Sesuai dengan budaya politik matang, tidak salah rasanya mengucapkan tahniah kepadanya.
Kata Zahid Hamidi lagi, kejadian ganas seumpama itu tidak seharusnya berlaku dalam sebuah negara demokratik seperti Malaysia ini.
Walaupun kita mempunyai perbezaan pendapat, tiada keganasan patut dilakukan kepada mana-mana individu atau pemimpin, ujarnya.
Sehubungan itu, Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, beliau akan mengarahkan pihak polis untuk menyiasat dengan adil dan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terbabit.
Dengan kenyataan yang jelas adil, seimbang, berhemah dan menunjukkan kematangan oleh Zahid Hamidi itu, secara tidak langsung juga bermakna terpadamlah dan tidak bernilai lagi apa juga reaksi daripada pemimpin UMNO lain seperti Annuar Musa, Dr. Puad Zarkhasi atau Jamal Md Yunos berhubung kekecohan program Nothing To Hide 2.0 semalam.
Annuar lebih menyalahkan penganjur atas kekecohan yang berlaku, Dr. Puad Zarkashi pula menyifatkan Bersatu sengaja melakukan penipuan dengan meletakkan nama Najib, manakala Jamal Md. Yunos lebih hebat lagi dengan mendakwa sudah mengetahui sejak sebulan lalu berhubung rencana huru-hara yang kononnya direstui oleh Tun Mahathir sendiri.
Namun, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis dan mungkin sudah diberikan laporan mengenai kejadian itu, kenyataan Zahid Hamidi tentunya lebih berwibawa berbanding “sembang kosong” lain-lain pemimpin UMNO itu.
Maka, kenyataan Zahid Hamidi yang mengecam kekecohan serta mengatakan keganasan tidak seharusnya ditujukan kepada mana-mana pemimpin atau individu, lebih-lebih lagi terhadap Tun Mahathir yang sudah berusia 92 tahun serta berjanji untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil, memang patut diberikan pujian.
Tahniah Wak….
Tetapi, selain perkara dulu-dulu melibatkan dirinya yang banyak tergantung tanpa jawapan, Zahid Hamidi sebenarnya masih lagi “berhutang”  kepada rakyat Malaysia dua perkara – satu, salinan kad pengenalan lama Tun Mahathir yang didakwanya tertulis “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” dan kedua, rakaman perbualan pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri itu yang ditemuinya selepas 10 hari dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2015 dahulu.
Bersama kenyataan terbarunya ini yang jelas memperlihatkan kematangan sebagai pemimpin dan jika beliau dapat membuktikan dirinya di pihak yang benar dalam dua perkara tersebut yang masih tertunggak di hati rakyat, Zahid Hamidi tidak dinafikan boleh menjadi lebih baik berbanding Najib serta akan semakin jauh meninggalkan prestasi pesaingnya, Hishammuddin Hussein.
Sebaliknya, sikap berdiam diri dan masih membisu Najib sehingga kini mengenai kejadian semalam hanya melambangkan ketidakpedulian, tidak sensitif dan memandang remeh, sementara Hishammuddin seperti biasa, lebih selesa dengan watak “apple polisher” atau pengipasnya saja.

Cuma, mampukah Zahid Hamidi melunaskan “hutang tertunggak” itu atau “hutangnya” kepada rakyat Malaysia akan terus diingati sampai bila-bila?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.