‘TAHANAN IS KECEWA DENGAN PAS, UMNO, PKR DAN ARQAM’

Kecewa dengan parti politik antara sebab seorang tahanan IS terjebak dalam kegiatan pengganas.

Perkara itu didedahkan jurupulih pengganas Kementerian Dalam Negeri (KDN), Zamihan Mat Zin selepas bertemu dengan tahanan IS di Sandakan, Sabah baru-baru ini.

Menurut Zamihan dalam pertemuan itu tahanan terbabit mengaku pergi ke Marawi Filipina untuk berjihad memandangkan “tiada cara lain untuk membantu umat Islam kecuali dengan berperang di jalan Allah”.

“Beliau sanggup meninggalkan anak dan isteri semata-mata untuk ‘berjihad’ dalam merealisasikan pemikiran ekstremisnya,” kata Zamihan menerusi Facebooknya.

Menurut Zamihan individu berusia 48 tahun dan berasal dari Semnyih, Selangor itu juga mendakwa kecewa dengan parti politik yang seolah-olah tidak mahu mempraktikkan undang-undang Islam dan mengejar keuntungan duniawi semata-mata

“Katanya beliau pernah aktif dalam PAS, Umno, PKR dan al-Arqam. Tetapi semuanya hampa belaka.

“Beliau juga secara keras mendakwa umat Islam di Malaysia telah banyak melakukan perkara bidaah, syirik, sesat dan khurafat dalam urusan akidah dan ibadat.

“Baginya, mengislahkan umat Islam dengan senjata adalah satu jihad bagi memurnikan tauhid,” kata Zamihan.

Zamihan berkata tahanan itu juga percaya sistem demokrasi berparlimen merupakan sistem “kafir yahudi” yang haram digunakan oleh umat Islam.

“Beliau turut menegaskan sesiapa yang terlibat dengan pilihan raya, mengundi dan menganggotai parlimen jatuh kafir dan murtad.

“Alasannya ia ciptaan orang kafir dan amalan ini dianggap bertentangan dengan Islam,” katanya.

Bagaimanapun Zamihan berkata individu berkenaan gagal berhujah apabila beliau meminta dalil berkaitan dakwaannya itu.

Penceramah itu juga menyalahkan aliran Wahabi kerana menyuburkan pemikiran radikal di negara ini.

“Bagi saya, ideologi ini sinonim dengan doktrin Wahabi yang mengaku Salafi.

“Buktinya amat banyak dan jelas secerah mentari. Hanya Pak “Ostaz” Wahabi taksub sahaja yang kabur dengan realiti,” katanya.

– M’kini

.