TAHAN MARIA CHIN SEBAGAI LANGKAH PENCEGAHAN – AZALINA

KUALA LUMPUR – Proses penahanan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 adalah sebagai langkah pencegahan yang digunakan pihak berkuasa, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata, oleh itu besar harapannya agar semua pihak menghormati dan berpegang kepada prinsip perundangan yang diamalkan di negara ini.

“Akta ini juga memberi ruang untuk tahanan mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah tempoh penahanan adalah lebih singkat iaitu maksimum 28 hari bagi maksud penyiasatan.

“Malah Maria Chin juga telah menggunakan hak beliau seperti mana yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan memfailkan permohonan habeas corpus di mahkamah yang bermaksud beliau boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina menjelaskan bahawa perkara ini bermakna kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada mahkamah bukan seperti dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman.

“Ini menunjukkan bahawa undang-undang di Malaysia hari ini bertambah baik dan selaras dengan keperluan hak asasi,” katanya.

Ujarnya lagi justeru, semua pihak perlu menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mereka secara profesional.

“Saya juga berharap semua pihak memberi ruang agar proses keadilan dapat berjalan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Maria ditahan polis pada 19 November lalu di bawah akta berkenaan.

SINAR HARIAN

.